Dewan kecoh usul tuntutan waris Kesultanan Sulu ditolak

Dewan kecoh usul tuntutan waris Kesultanan Sulu ditolak

Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan diarah keluar dewan selepas mendesak usul tuntutan waris Kesultanan Sulu dibahaskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari pertama sidang Dewan Rakyat semalam kecoh selepas Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis (gambar kecil) dari Parti Warisan (Warisan) diarah keluar dewan selepas mendesak usul tuntutan waris Kesultanan Sulu dibahaskan.

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Yang Dipertua Dewan, Mohd. Rashid Hasnon selepas wakil rakyat itu meminta Yang Dipertua Dewan, Azhar Azizan Harun menjelaskan tindakan menolak usul dikemukakannya berhubung dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxemborg dirampas waris Ke­sultanan Sulu.

Isnaraissah sebelum itu mempersoalkan tindakan Azhar Azizan menolak usulnya tentang perkara yang sama sebanyak tiga.

“Saya nak tanya kerajaan, sampai tahap apa yang kamu membolehkan supaya bahas ini dibolehkan?

“Ini soal kedaulatan negara, bukan soal remeh temeh, pasal Sabah kah kamu tidak peduli? Sulu tuntut Sabah sahaja, bukan negeri-negeri lain,” katanya.

Perkara itu mendapat soko­ngan ahli-ahli Parlimen lain de­ngan meminta usul tersebut dipertimbang kembali supaya boleh dibahas di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat semalam turut diasak supaya membenarkan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu dibahaskan atas alasan melibatkan maruah negara yang perlu dipertahankan.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bukan ingin mempertikai keputusan Yang Dipertua Dewan, namun rakyat perlu mendapat penjelasan daripada menteri yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

“Saya juga menerima usul saya ditolak dengan alasan subjudis, tetapi hari ini (akhbar Utusan Malaysia) dilaporkan tempatan dan antarabangsa, kalau isu ini subjudis, laporan akhbar hari ini dinyatakan Speaker Dewan Negara dah buat komen jangan bayar, subjudis atau tidak terpulang kepada mahkamah nanti.

“Tetapi saya harap ada satu hujah dan konsisten supaya isu ini perlu dibahas, dan kita bawa isu ini bukan untuk pertikai, tapi kita mahu penjelasan kenapa ini berlaku, kenapa rakyat perlu mendapat suatu pandangan menteri yang menjawab dalam Parlimen kerana ini melibatkan maruah negara yang perlu dipertahankan,” katanya sambil menunjukkan muka depan Utusan Malaysia dalam Dewan Rakyat, semalam.

Sidang perbahasan sebelum itu menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung dua hari berikutan tindakannya mempersoal usul yang ditolak tentang tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Azhar yang mempengerusikan sidang sebelum itu membuat ketetapan bahawa penjelasan secara terperinci telah diberi menteri ekonomi sebelum ini dan terdapat dua prosiding yang masih lagi berjalan, sekali gus tidak membenarkan ia dibahaskan.

“Aturan mesyuarat amat terang dan saya terpaksa memakainya. Saya tidak pernah masuk campur dengan hal abang saya buat dan saya tidak pernah cakap soal kerja dengan beliau, sekiranya apa yang berlaku dalam dewan saya selalunya akan mengecualikan diri daripada membuat keputusan,” jelasnya.

Mohd. Rashid kemudian mempengerusikan sidang dewan bagi menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, namun dewan terus kecoh selama kira-kira 30 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN