Bersabung nyawa demi ilmu

Bersabung nyawa demi ilmu

sekolah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kira-kira 20 peratus atau 100,000 daripada 505,439 pelajar di negeri ini berdepan kesukaran apabila terpaksa menaiki perahu menyeberangi sungai, berjalan kaki hampir sejam dan meredah la­luan tanah merah serta bukit-bukau untuk ke sekolah setiap hari.

Ketika ini, 60 peratus daripada 1,075 sekolah rendah di Sabah terletak di kawasan pedalaman menyebabkan murid terbabit terpaksa mengharungi situasi ber­kenaan saban hari demi me­nuntut ilmu.

Daerah Pitas di Kudat yang dikategorikan satu daripada tiga daerah termiskin di Malaysia antara paling banyak berlaku situasi itu yang menyaksikan murid terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk ke sekolah.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak, umpamanya, masih ramai murid yang terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira lima kilometer untuk ke sekolah setiap hari. Murid yang menaiki perahu pula, mengambil masa perjalanan kira-kira 30 minit untuk sampai ke sekolah.

Bagi Mira Arvianna Mojiun, 12, berjalan kaki selama sejam ke sekolah merupakan rutin harian yang terpaksa ditempuh demi menuntut ilmu.

MIRA ARVIANNA MOJIUN (kanan) dan NELNIKA MAKARIN

Biarpun perjalanan di bawah panas matahari meletihkan namun, semangatnya untuk me­nuntut ilmu tidak pernah pudar.

“Memang rasa penat tapi itu tidak melemahkan semangat saya untuk ke sekolah. Saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajaran kami sudah jauh ter­tinggal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Murid yang berasal dari Kampung Maliau Layung itu sanggup berhujan dan berpanas daripada tercicir dalam pelajaran.

Mira, yang bercita-cita menjadi doktor atau guru itu berkata, hanya pada musim hujan, dia dan rakan-rakan sekampung tidak dapat ke sekolah kerana keadaan jalan tidak menjadi licin dan berlumpur.

Anak sulung daripada dua beradik itu meletak harapan yang tinggi agar laluan masuk ke kampung mereka akan dinaik taraf kepada jalan berturap pada masa akan datang supaya kenderaan ringan boleh sampai ke kampung itu.

Keadaan jalan yang tidak berturap dan berbukit dari Kampung Maliau Layung ke Sekolah Kebangsaan Pinapak, Pitas. – UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN

Sahabat baiknya, Nelnika Makarin, 12, berkata, setiap hari mereka mula berjalan kaki ke sekolah pada pukul 5 pagi dan sampai ke sekolah sejam kemudian.

“Sudah biasa. Tapi tipulah kalau tidak penat kerana perlu jalan kaki semasa cuaca panas. Itu sebabnya payung dan bekalan air minum harus sentiasa ada.

“Kadangkala kalau terasa penat, kami akan berhenti untuk berehat sebelum menyambung semula perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Nelnika yang bercita-cita menjadi polis itu menyimpan hasrat untuk melihat kemudahan infrastruktur yang dinikmati oleh masyarakat di bandar akan dapat dirasai oleh mereka yang berada jauh di pedalaman.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman mengakui masih banyak kawasan petempatan terutama di kawasan ladang yang memerlukan pembinaan sekolah baharu.

Menurut beliau, di kawasannya, 50 peratus sekolah masih berstatus sekolah daif yang memerlukan pembaikan dan penaiktarafan segera. Bukan hanya di Kalabakan bahkan, banyak lagi sekolah daif lain di kawasan pedalaman yang memerlukan perhatian segera.

“Malah, ada sebuah sekolah di Pitas yang kelihatan seperti reban ayam, terlalu usang. Di Sabah, sekolah kita bukan hanya tiada kelengkapan makmal komputer tapi, prasarana asas pun masih belum mencukupi,” katanya.

JAMBATAN TENGGELAM

Di Pitas, setiap kali musim hujan, jambatan aras rendah yang menghubungkan laluan utama ke SK Pinapak pasti akan ditenggelami air Sungai Bengkoka.

ARAS jambatan yang rendah mengakibatkan kemudahan itu tidak boleh digunakan ketika banjir.

Situasi itu menjejaskan sesi pembelajaran 224 orang murid yang bersekolah di daerah yang terletak di pedalaman Sabah itu.

Ketua Kampung Pinapak, Zainah Lantayan, 62, berkata, sudah tiba masanya kemudahan jambatan itu dinaik taraf kepada jambatan standard demi kese­lamatan murid dan penduduk kampung.

“Jambatan itu satu-satunya laluan untuk penduduk kampung menuju ke Pekan Pitas dan Kota Marudu maka, jika ia ditenggelami air maka, kami akan terputus hubungan dengan dunia luar,” katanya.

Beliau berkata, keadaan jambatan gantung di situ juga perlu sentiasa diselenggara bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.

Sementara itu, Martina Majuling, 30, berkata, walaupun perjalanan ke sekolah mengambil masa sejam namun, anaknya tidak pernah merungut untuk ke sekolah.

Katanya, dulu dia menyewa kenderaan untuk anaknya ke sekolah tetapi demi menggurangkan perbelanjaan, anaknya kini hanya berjalan kaki ke sekolah bersama rakan-rakan lain dari kampung tersebut.

“Saya tidak risau sebab dia sudah besar. Lagipun dia ke sekolah bersama rakan sekampung lain dan bukannya bersendirian,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, semasa pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), kesukaran menyiapkan kerja sekolah tanpa bimbingan guru menyebabkan anaknya menangis kerana tidak faham dengan soalan.

Liputan internet sering terganggu akibat faktor cuaca. Itu menyebabkan kerja sekolah yang guru hantar hanya akan diterima sehari atau dua hari kemudian.

“Tapi, ibu bapa di sini beruntung kerana guru-guru memang faham situasi murid. Biarpun hantar lewat asalkan kerja sekolah itu siap. Ada juga kerja sekolah yang perlu diambil di pondok pengawal keselamatan dan dihantar semula apabila siap,” katanya.

Martina berharap kemudahan infrastruktur jalan raya ke kampung itu dan kampung sekitar akan dinaik taraf secepat mungkin bagi memudahkan orang kampung dan juga murid sekolah.

NAIK PERAHU

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pinapak, Masbih Masiau, 44, berkata, ada murid yang berhenti sekolah kerana jarak perjalanan yang terlalu jauh dan meletihkan untuk sampai ke sekolah.

“Ini kes beberapa tahun lalu. Bayangkan mereka perlu berjalan kaki seharian untuk sampai ke sekolah. Pada hujung minggu, mereka akan berjalan sehari lebih awal dan tinggal di rumah keluarga terdekat untuk sambung perjalanan ke sekolah pada esok hari,” katanya.

Malah, sehingga hari ini, masih ada murid yang perlu meredah sungai dengan berjalan kaki dan menaiki perahu untuk ke sekolah yang terletak kira-kira 165 kilo­meter dari Kota Kinabalu itu.

“Murid yang tinggal di kawasan hulu masih lagi ke sekolah dengan menaiki perahu setiap hari. Pada musim hujan, mereka tidak dapat ke sekolah kerana keadaan Sungai Bengkoka yang agak deras dan berbahaya.

“Ada kalanya, hampir sebulan murid di situ tidak hadir ke sekolah sekiranya banjir lambat surut,” katanya.

Walaupun ramai murid yang berjalan kaki namun, ada juga murid yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang di­sewa secara bulanan jika keluarga mereka berkemampuan.

Masbih meletak harapan yang tinggi agar kemudahan infrastruktur di kampung sekitar sekolah itu dapat ditambah baik bagi membolehkan perjalanan murid ke sekolah menjadi lebih mudah.

Menurut beliau, masalah liputan internet juga memberi cabaran kepada guru dan murid di sekolah itu kerana apabila kerap berlaku gangguan bekalan elektrik maka, liputan internet turut terjejas.

JAKET KESELAMATAN

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Asbi berkata, biarpun jumlah murid tidak ramai namun, mereka berhadapan risiko kerana mereka bukan hanya menggunakan perahu yang kecil malah, tidak memakai jaket ke­selamatan.

Murid SK Pinapak menaiki perahu menyusuri Sungai Bengkoka, Pitas untuk ke sekolah setiap hari tanpa memakai jaket keselamatan.

“Jika paras air surut, keadaan itu tidak juga membahayakan namun, semasa musim hujan, paras air akan naik maka, itu membimbangkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan perahu orang kampung sudah sang dan ada sebahagian lantai perahu yang bocor.

Beliau berkata, situasi itu sudah berlanjutan sejak bertahun lamanya dan dia berharap ada pihak yang membantu agar murid di sini boleh ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

“Saya melihat ada keperluan untuk murid di sini dibekalkan dengan jaket keselamatan atau perahu yang lebih besar dan lengkap dengan enjin,” katanya.

Setakat Mac lalu, jumlah pelajar yang direkodkan di Sabah adalah seramai 505,439 orang membabitkan 1,292 sekolah. Ia termasuk 313,697 murid sekolah rendah dan 191,742 pelajar sekolah menengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN