ALOR SETAR: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang perlu mengikuti pembelajaran secara dalam talian selama berbulan-bulan rasa berbaloi apabila meraih keputusan 11A+ dalam kesemua subjek didudukinya.
Gan En Chia, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa mengakui dia agak keletihan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) apabila perlu ‘melihat’ skrin komputer riba dalam tempoh yang terlalu lama.
Katanya, bagi mengatasi keletihan itu dia mengambil masa untuk menonton rancangan televisyen yang berunsur humor bagi menghilangkan tekanannya sebelum menyambung menelaah pelajaran.
“Saya rasa walaupun kita mahu belajar bersungguh-sungguh tetapi perlu bersikap positif dan optimis dan jangan terlalu tertekan. Memang sepanjang PdPR saya agak letih kerana terpaksa mengadap skrin terlalu lama.
“Diakui sepanjang PdPR kadang-kala saya hilang motivasi untuk belajar, jadi bila saya stress saya akan tengok rancangan televisyen dan dengar muzik untuk membantu saya ketawa bagi menghilangkan tekanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, pelajar Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Nurul Hana Abdul Halim, 18, yang meraih keputusan 10A+ juga mengakui sukar sepanjang PdPR kerana tiada rakan-rakan di sisi untuk belajar selain berdepan masalah talian internet.
Bagaimanapun, menurut Nurul Hana, dia tidak terlampau tertekan kerana memiliki rakan-rakan yang jenis tenang dan tidak terlalu bersaing untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Saya juga bukanlah jenis belajar saat-saat akhir kerana sejak awal lagi membuat persediaan untuk menghadapi SPM. Malah, kalau rasa penat atau mengantuk saya rehat sahaja sebelum kembali belajar.
“Sebenarnya saya tak jangka dapat keputusan cemerlang ini dan sudah memohon kemasukan ke kolej matrikulasi sahaja, tetapi selepas dapat keputusan hari ini saya sudah berbincang dengan mak untuk lihat peluang melanjutkan mana lebih sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 383 atau 1.52 peratus calon sekolah kerajaan berjaya memperoleh gred A (cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2021 yang diumumkan di negeri ini.
Pengarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad berkata, seramai 29,769 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun itu berbanding 29,934 calon pada 2020 iaitu pengurangan sebanyak 0.55 peratus.
“Bagi pencapaian keseluruhan calon SPM 2021 berdasarkan gred purata (GP) negeri Kedah adalah 5.14 dan seramai 10 calon telah berjaya memperolehi gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran.
“Manakala sekolah dengan pencapaian terbaik berdasarkan GP pada tahun 2021 negeri Kedah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma dengan GP 2.00,” katanya. – UTUSAN










