PETALING JAYA: Sebanyak 59,642 unit rumah bernilai kira-kira RM42.9 bilion di seluruh negara yang sudah pun siap dibina masih lagi tidak terjual dalam suku pertama 2022.
Kesemua unit rumah tersebut dikenali sebagai overhang unit iaitu merujuk kepada unit perumahan yang telah menerima Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) tetapi tidak terjual lebih sembilan bulan selepas dilancarkan.
Menurut data terkini Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, jumlah itu meliputi 35,592 unit rumah (atas tanah) bernilai RM22.45 bilion dan 24,050 unit pangsapuri servis bernilai RM20.45 bilion.
Pangsapuri servis mencatatkan bilangan rumah paling banyak tidak terjual dengan 24,050 unit bernilai RM20.45 bilion, malah pangsapuri berharga antara RM500,000 dan RM1 juta paling banyak tidak terjual dengan 15,481 unit, yang menjadikan nilai keseluruhan RM11.61 bilion.
PALING BANYAK
Johor mempunyai rumah paling banyak tidak terjual apabila mencatatkan 22,417 unit berbanding negeri lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ejen hartanah, Zarul Hisyam Zakaria dari ZHZ Properties menyifatkan, jumlah rumah yang tidak terjual itu menunjukkan berlaku lambakan rumah baharu dalam pasaran ketika ini.
Katanya, terdapat tiga faktor iaitu harga rumah yang terlalu tinggi, lokasi perumahan tidak strategik dan tidak menepati kehendak pembeli.
“Biasanya, rumah overhang ini melibatkan rumah baharu yang meletakkan harga terlalu mahal dan lokasi rumah tidak strategik. Kalau rumah subsale (second hand) masih laku dan mendapat sambutan.
“Kalau di Johor, rumah masih banyak tidak terjual kerana ada yang dijual untuk penduduk Singapura atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Kalau penduduk Johor sendiri nak beli, kemampuan mereka nak beli agak mustahil,” katanya ketika dihubungi.
Disebabkan itu, katanya, kebanyakan pemaju ketika ini mengemukakan pelbagai jenis tawaran antaranya khidmat guaman percuma dan perabot percuma supaya dapat menarik perhatian pembeli.
“Ada juga pemaju yang menawarkan rebat rumah sehingga 30 peratus kepada pembeli, tetapi kalau lambakan rumah sedia ada tidak menepati kehendak pembeli, payah juga untuk dijual,” katanya.
Beliau menyarankan kepada pihak berkuasa supaya meneliti dahulu setiap projek perumahan yang akan dibina sebelum diberikan kelulusan.
“Antara sebab lebihan penawaran ini berlaku apabila banyak sangat rumah yang mahal diluluskan oleh pihak berkuasa, sedangkan kelulusan itu perlu diteliti terlebih dahulu,’’ kata beliau. – UTUSAN










