Tak pernah fikir nak rebut jawatan itu – Mohamad Ali

Tak pernah fikir nak rebut jawatan itu – Mohamad Ali

MOHAMAD ALI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau mengimpikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Menjelaskan perkara tersebut, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu berkata, tidak pernah timbul di benak fikirannya ingin merebut jawatan yang disandang oleh Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sebaliknya, tegas beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali adalah orang paling layak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) seperti mana dicadangkan oleh UMNO Bahagian Alor Gajah, baru-baru ini, sebagaimana kelaziman tradisi dalam UMNO.

Jelasnya lagi, kenyataan beliau sebelum ini bukan ingin memporakperandakan UMNO negeri sebaliknya ingin mempertahankan kedudukan Sulaiman sebagai ketua menteri sehingga habis penggal selepas ada individu yang rakus me­ngidam jawatan yang disandang oleh Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Lendu itu.

BERCITA-CITA

“Rakyat Melaka sudah tahu tentang seorang individu yang bercita-cita tinggi hendak menjadi Ketua Menteri selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Me­laka, November tahun lalu.

“Semua orang tahu siapa individu yang mengingkari keputusan pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman sebagai Ke­tua Menteri dan individu yang sama juga menimbulkan onar dengan segala ugutan serta paksaan terhadap Sulaiman.

“Rakyat Melaka juga tahu punca kekecohan majlis angkat sumpah jawatan Sulaiman dilakukan sehingga pukul 1 pagi sejurus BN diumumkan memenangi PRN Melaka.

“Itulah yang terjadi akibat kerakusan individu terbabit memaksa majlis angkat sumpah yang sepatutnya diadakan pada keesokan Ahad telah dibuat tergesa-gesa pada malam berkenaan,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Ali diminta me­ngulas kenyataan Ab. Rauf yang mengatakan khabar angin­ kononnya Sulaiman mahu meletak jawatan sengaja diperbesarkan pihak tertentu walaupun perkara sebenar berulang kali dinafikan berlaku.

Malah, ADUN Tanjong Bidara itu mendakwa Mohamad Ali sebagai punca kepada kemelut tersebut kerana inginkan jawatan Pengerusi Perhubu­ngan UMNO negeri.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, tuduhan isu menggantikan Sulaiman sengaja diperbesarkan adalah tidak benar sebaliknya menegaskan perkara tersebut ada asasnya.

“Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang! Tunggulah nanti ada perkara yang akan didedahkan,” ujarnya yang enggan mengulas lanjut kenyataan tersebut.

Kelmarin, Sulaiman dalam satu kenyataan dari Sarajevo, Bosnia and Herzegovina menafikan dakwaan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, sebaliknya menjelaskan ia hanya khabar angin yang ingin mengganggu gugat kestabilan politik kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN