KUALA LUMPUR: Pemilihan parti PKR akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang penangguhan walaupun terdapat bantahan daripada calon-calon yang bertanding.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr. Zaliha Mustafa berkata, penangguhan pemilihan parti adalah suatu keputusan besar yang tidak boleh dibuat JPP.
Sebaliknya, perkara itu akan dirujuk terlebih dahulu dengan pimpinan parti mengenai tindakan lanjut yang telah dilakukan.
“Kalau sekadar penangguhan, contohnya di beberapa kawasan, itu JPP boleh buat. Tetapi jika mahu batalkan keseluruhan pemilihan parti, ia tidak boleh dibuat JPP kerana kita hanyalah badan pelaksana.
“Cuma, setakat ini saya sudah maklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara ini, Presiden kata kita akan bincang perkara ini dengan lebih lanjut dan kita juga akan meneliti perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta JPP menangguhkan pemilihan parti sehingga sistem pengundian diuji sepenuhnya.
Rafizi berkata, penangguhan pengundian fizikal bagi mengelakkan pembatalan, penangguhan dan kekecohan yang menyusahkan anggota biasa.
Mengulas lanjut, Zaliha turut berkata, beliau tidak menolak kegusaran yang dilontarkan Rafizi namun berdasarkan perkembangan hari keempat pemilihan parti, aduan yang diterima semakin berkurangan dan aplikasi ADIL yang digunakan dilihat semakin bertambah baik.
“Jadi, setakat ini kita teruskan seperti biasa sebab tidak adillah untuk mereka yang sudah buat persediaan dari awal,” katanya.
Sementara itu, di Perlis, jarak pondok panas terlalu hampir dengan pusat mengundi dan pertukaran ‘cai’ dibangkitkan oleh salah seorang calon dalam pemilihan PKR Cabang Kangar, semalam.
Calon Ketua Cabang PKR Kangar, Gan Ay Ling menyifatkan budaya tersebut khususnya pondok panas yang hanya 50 meter dari pusat pengundian sebagai tidak sihat dan didakwa tidak mematuhi syarat.
“Satu lagi, saya lihat berlaku pertukaran ‘cai’ iaitu cai yang diberikan kepada pengundi diambil dan ditukar kepada ‘cai’ calon lain. Ini budaya yang tidak sihat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu.
Menepis dakwaan tersebut, calon yang juga penyandang jawatan Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, jarak pondok panas yang dekat bukanlah isu kerana bakal memudahkan ahli yang mengundi mendapat maklumat sepatutnya.
Pemilihan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang juga berlangsung semalam dijadualkan berjalan lancar tanpa kekecohan. – UTUSAN










