Malaysia mampu cipta kejutan jumpa Vietnam

Malaysia mampu cipta kejutan jumpa Vietnam

SKUAD negara akan menentang Vietnam dalam aksi separuh akhir bola sepak Sukan SEA Vietnam malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Sekiranya rekod di atas kertas menjadi ukuran, nampaknya ia tidak memihak kepada skuad Bawah 23 tahun (B-23) kerana pernah tewas dua kali di peringkat separuh akhir kepada Vietnam iaitu pada 2013 di Hanoi dan 2005 di Manila.

Bagaimanapun, Malaysia ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal juga pernah mengecewakan skuad muda Naga Emas itu di pentas final apabila menang 1-0 di pada edisi 2009 di Laos untuk mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas dalam acara bola sepak.

Apa pun, itu semua kejayaan lalu dan telah menjadi lipatan sejarah serta tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana kedua-dua pasukan kini dibarisi pemain baharu dan rekod lalu hanyalah satu kenangan manis buat pasukan.

Yang pasti tidak mustahil skuad negara dibawah kendalian Brad Maloney mampu mengejutkan tuan rumah, Vietnam di hadapan penyokong mereka sendiri jika segala taktikal dan persembahan terbaik para pemain mampu dijelmakan.

Ketika ini, semangat pemain juga ‘membara’ untuk berdepan Vietnam dengan pemain tengah negara, Syahir Bashah menyeru rakan sepasukan untuk membuktikan sesuatu dan tidak perlu takut berdepan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu.

“Untuk perlawanan menentang Vietnam, bagi saya tiada apa-apa masalah, saya yakin pasukan boleh buat. Jumpa mana-mana pasukan pun perlawanan tetap akan sama, kena menang untuk jadi juara” katanya.

Atas kertas, kelebihan jelas milik Vietnam dengan skuad kendalian Park Hang Seo itu akan mendapat bantuan moral daripada daripada ribuan penyokong tuan rumah memenuhi stadium, selain menjadi pilihan utama untuk meraih emas.

Sementara itu, bekas pengendali skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee berkata, setiap pasukan yang layak ke separuh akhir memiliki peluang sama rata namun, rekod tanpa tewas skuad B-23 ketika ini memberi mereka sedikit keyakinan kepada pemain.

“Bila di peringkat kalah mati, bagi saya tiada mana-mana pasukan pilihan dan perkara paling positif adalah kita layak ke separuh akhir tanpa tewas.Faktor itu akan memberi keyakinan kepada semua pemain apabila turun berdepan Vietnam.

“Tentang tekanan saya rasa, pasukan tuan rumah (Vietnam) lebih tertekan berbanding kita apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Apa yang saya lihat stadium sentiasa dipenuhi penyokong setiap kali Malaysia bermain jadi saya tidak nampak ia menjadi musuh utama buat pemain, tetapi musuh utama mereka ketika ini adalah diri sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN