Dominasi warga asing

Dominasi warga asing

indonesia
PENAWARAN tenaga kerja negara kekal p[ositif. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga a­sing yang dilihat mula meng­ancam ‘periuk nasi’ kontraktor tempatan khususnya bumiputera.

Daripada 10,000 syarikat pembinaan yang berdaftar, hanya 20,000 warga asing yang masih terikat di bawahnya, manakala 200,000 hingga 300,000 atau 80 peratus lagi mengusahakan perniagaan sendiri dalam sektor berkenaan walaupun tidak memiliki kelayakan yang diiktiraf.

Kebanyakan mereka didakwa menawarkan kos pembinaan yang lebih murah selain mudah berunding berbanding kontraktor tempatan walaupun isu kuali­ti dan jaminan keselamatan hasil kerja tidak mendapat kelulusan dan mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion mendakwa, keadaan itu menyebabkan kontraktor kerugian berbilion ringgit setiap tahun ekoran keengganan pekerja asing terbabit bekerja dengan syarikat tempatan.

“Warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan Pakistan semakin banyak mendominasi sektor perusahaan terutamanya pembinaan di seluruh negara walaupun tidak mempunyai dokumen, permit dan lesen yang diperakui kerajaan.

“Sektor pembinaan menyaksikan ramai warga asing tidak lagi mahu bekerja dengan kontraktor tempatan, sebaliknya menjalankan perniagaan secara sendiri yang disifatkan lebih lumayan.

“Kami sudah mengemukakan aduan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) de­ngan harapan pihak berkenaan akan membantu menangani masalah dihadapi, namun tiada tindakan lanjut daripada pihak berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Tukiman mendakwa, CIDB tidak mahu mengambil tindakan lanjut terhadap ‘kontraktor’ warga asing yang tidak mempunyai nombor pendaftaran syarikat seperti mana biasa diperoleh syarikat-syarikat tempatan untuk menjalankan operasi pembinaan.

“CIBD sepatutnya memainkan peranan penting memantau kegiatan warga asing dan mereka tidak wajar diberikan peluang menjadi tauke pembinaan pun di negara kita. Saya sudah lama suarakan isu ini, tetapi tiada tindakan lanjut.

“Contohnya di Cheras, kami lihat ada kontraktor pembinaan tidak mengikut kriteria seperti tidak mempunyai papan tanda pembinaan dan nombor pendaftaran. Namun, apabila aduan dibuat, tiada tindakan lanjut, sebaliknya, kalau kontraktor tempatan macam-macam hal perlu diselesaikan, bayar inilah, itulah.

“Kerajaan perlu mewajibkan hanya kontraktor tempatan yang dibenarkan membuat kerja ubah suai rumah persendirian dan jika tetap mengambil warga asing, maka tuan rumah sudah melakukan kesalahan,” ujarnya.

April lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan berkata, Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh secara berpe­ringkat, menyaksikan 475,678 permohonan pekerja warga asing­ diterima dan 43,519 membabitkan permohonan bekerja di sektor pembinaan.

Mengikut rekod Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, statistik menunjukkan Indonesia menyumbang peratusan tertinggi bilangan pekerja bukan warganegara di negara ini iaitu 704,175 orang diikuti Bangladesh (568,929), Nepal (316,102), Myanmar (125,795), India (117,733) dan Pakistan (61,689).

Dalam pada itu, Tukiman berkata, hanya CIDB boleh menghentikan warga asing daripada mendominasi sektor tersebut, namun, ia sukar dikawal selagi terdapat permintaan daripada pemilik rumah atau majikan tempatan mendapatkan khidmat mereka.

“Sukar mengawal mereka, warga asing tidak memen­tingkan kualiti kerja pun sebab bukan pakar dalam bidang ini. Silap hari bulan boleh ‘mati katak’ kerana masalah boleh berlaku sebelum atau selepas projek siap,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan supaya semua kontraktor bumiputera dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi memudahkan urusan pembaharuan lesen seperti lesen B28 (kerja-kerja ubah suai) memandangkan urusan itu sukar dilakukan jika terus di bawah CIDB.

“Kami mahu perbaharui lesen pun susah, bayar macam-macam, dan apabila gagal perbaharui, kena mohon semula dan bayar lagi. Lesen ini perlu diambil dari CIDB.

Peliknya, warga asing yang tidak pun memiliki lesen macam ini boleh pula melakukan kerja-kerja ubah suai,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan turut mengakui warga asing mendominasi hampir keseluruhan sektor pembinaan apabila mahu menjadi ‘sub kontraktor’.

Beliau berpendapat, warga asing yang masih bersama kontraktor tempatan sudah berani meminta (demand) kadar upah lebih tinggi dan bukan lagi dibayar mengikut gaji harian.

“Mereka masih pekerja, cu­ma menjadi sub kontraktor untuk lebih untung. Satu projek binaan yang dicadangkan RM4,000, tetapi mereka caj sehingga RM4,500 sedangkan tugas sama sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN