SEREMBAN: Seorang bapa kepada pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Labu di sini, meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kejadian buli yang didakwanya berlaku terhadap anaknya dan beberapa orang pelajar tingkatan dua yang lain di sekolah itu.
Bapa pelajar tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi mendakwa, kejadian buli sehingga mendatangkan kecederaan tersebut berlaku pada 13 Mei yang lalu dan dilakukan oleh beberapa orang pelajar tingkatan empat sekolah terbabit.
“Anak saya memberitahu telah ditendang di bahagian belakang dan dipukul menggunakan penyangkut baju di bahagian betis selain turut dipukul menggunakan kayu penyapu di bahagian peha.
Bagi saya ini bukan kes buli sahaja tetapi ini kes samseng.
“Bukan hanya anak saya sahaja malahan boleh dikatakan hampir seluruh pelajar tingkatan dua turut mengalami kejadian sama dan dilakukan oleh sekumpulan pelajar senior tingkatan empat sekolah itu.
“Apa yang mengecewakan dan paling saya rasa tidak berpuas hati, pihak pengurusan sekolah masih tidak memaklumkan kejadian ini kepada pihak ibu bapa dan penjaga, seolah-olah cuba menyembunyikan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Azmi, berikutan kejadian tersebut dia dan anaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Nilai di sini, semalam.
“Saya dimaklumkan sudah 10 orang pelajar telah membuat laporan polis yang mendakwa menjadi mangsa pukul pelajar-pelajar senior dan mereka semua mempunyai kesan pukul pada badan masing-masing.
“Jika anak-anak saya ada melakukan kesalahan apa-apa, saya tidak kisah jika dia dikenakan denda, tiada masalah tetapi ini menggunakan senjata seperti kayu dan penyapu,” katanya. -UTUSAN










