PETALING JAYA : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak bersikap adil kepada parti-parti politik lain apabila memberi kebenaran kepada UMNO menangguhkan pemilihan parti meskipun tempoh pemegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) bagi penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, tindakan itu juga tidak adil kepada ahli UMNO yang mahu memilih barisan kepemimpinan baharu.
Menurutnya, UMNO berisiko diharamkan selagi gagal mengadakan pemilihan parti melainkan mendapat kebenaran penangguhan ROS, sebaliknya perkara itu tidak terjadi ekoran keistimewaan dimiliki parti tersebut.
“Dalam soal ini, ROS berhak menangguhkan pemilihan parti. Tetapi kita cuma mempersoal keistimewaan diberikan oleh ROS kepada UMNO sehingga dibenar menangguhkan pemilihan berbanding parti politik lain yang wajar mengadakan proses melantik jawatan kuasa baharu selepas penggal berakhir,” katanya.
Pada 6 Ogos tahun lalu, ROS menetapkan keputusan MT UMNO pada 7 Julai 2021 untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Bagaimanapun jabatan itu kemudian membatalkan keputusannya sebelum ini yang menegaskan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.
UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.
Dalam pada itu, Mior Nor Haidir memberitahu, UMNO tidak perlu meminta kebenaran ROS untuk mengadakan Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) pada 15 Mei ini bagi meminda perlembagaan parti berhubung tempoh pemilihan parti diadakan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).
Jelasnya, perkara itu tertakluk kepada perlembagaan UMNO yang berhak untuk mengadakan EGM jika keadaan memerlukan.
Sementara itu, peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz menjelaskan, hanya Menteri Dalam Negeri berkuasa sama ada untuk meluluskan atau menolak permohonan mana-mana parti termasuk UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti.
Katanya lagi, UMNO perlulah terlebih dahulu untuk membuat permohonan untuk menangguhkan pemilihan yang sepatutnya berlangsung pada tahun lalu. – UTUSAN










