GUA MUSANG: Ketika mula ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dekat sini, persepsi masyarakat tentang masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar memberi rasa kurang selesa.
Namun, selepas bertugas selama 12 tahun di sekolah itu sebagai guru muzik, Nur Amin Hussin, 39, semakin serasi dengan norma kehidupan komuniti itu.
Menurutnya, segala persepsi negatif ditepisnya sebagai cabaran sehingga jasa yang dicurahkan kepada murid Orang Asli melebihi kepentingan diri sendiri.
Katanya, setiap guru di kawasan pedalaman harus menanam sikap minat pada kerjaya dan bukanlah kerana gaji atau elaun yang ditawarkan.
“Pertama kali bertugas menyebabkan saya menghadapi masalah bau murid Orang Asli yang kurang menyenangkan akibat pengurusan diri yang rendah ketika itu menyebabkan saya mengalami demam selama seminggu.
“Ketika itu saya berasa sangat lemah, tetapi lama-kelamaan saya nekad untuk menyesuaikan diri dan akhirnya murid Orang Asli adalah sebahagian daripada kehidupan saya kini,” katanya yang sebelum itu bertugas di SK Taman Rakan di Kajang, Selangor selama lima tahun.
Nur Amin berkata, guru di kawasan pedalaman perlu kreatif dalam sesi pembelajaran terutamanya untuk menarik minat murid Orang Asli ke sekolah.
Katanya, murid Orang Asli begitu sukakan pelajaran yang mempunyai aktiviti seperti pendidikan muzik, seni dan pendidikan jasmani.
“Bagi murid Orang Asli, kita harus mengajar mereka secara didik dan hibur secara santai serta menyelitkan unsur jenaka bagi menarik minat mereka.
“Saya gembira dapat mencungkil bakat murid Orang Asli dalam bidang muzik dan pencapaian paling membanggakan ialah apabila pasukan koir SK Kuala Betis mendapat tempat kedua peringkat negeri pada 2013. Selain itu, saya juga berjaya mencungkil banyak bakat nyanyian solo,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Nur Amin, dia kini mengajar lebih 500 murid tahap satu dan dua di sekolah itu.
Katanya, SK Kuala Betis turut mempunyai studio muzik sendiri yang dibina pada tahun 2011 dan menjadi tempat murid Orang Asli belajar pelbagai instrumen muzik. –UTUSAN










