KUALA LUMPUR: Industri sawit negara berisiko ketinggalan dengan pesaing yang lain jika urusan pengambilan buruh asing untuk bekerja di sektor komoditi itu terus perlahan dan tidak disegerakan.
Pada masa ini, sektor sawit memerlukan kira-kira 50,000 pekerja bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam komoditi tersebut yang disifatkan kritikal pada masa ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kelompongan itu jika tidak diselesaikan segera akan memperlahankan pertumbuhan industri sawit tempatan dan boleh dipintas oleh negara-negara pesaing.
Katanya, setakat ini kerajaan hanya meluluskan 32,000 pekerja asing secara pengecualian khas bagi memenuhi keperluan sektor tersebut yang dianggap perlahan walaupun kemasukan buruh asing dijangka selesai hujung Mei ini.
Katanya, langkah segera mengatasi masalah tersebut penting agar Malaysia dapat mengambil peluang untuk meningkatkan pengeluaran susulan Indonesia menghentikan eksport bahan komoditi itu sejak April lalu.
“Kerja-kerja menuai memang memerlukan pekerja asing, kita masih bergantung dengan mereka. Tetapi, selain daripada itu, kerja-kerja mengurus, kerja-kerja teknikal, pentadbiran, itu semua kita memerlukan tenaga pekerja tempatan.
“Cuma dalam masa tiga ke lima tahun ini, kita akan ada teknologi dan alat-alat moden untuk yang tidak memerlukan tenaga pekerja asing. Waktu itu, kita akan dapat mengurangkan 40 peratus kebergantungan tenaga pekerja,” katanya di pejabat KPPK, Putrajaya, semalam.
Zuraida dalam masa yang sama menjelaskan, proses kemasukan pekerja asing agak perlahan, namun, ia dijangka diselesaikan hujung Mei ini.
“Dokumen itu sudah ada tapi proses itu perlahan. Kalau boleh, ia perlu dipercepatkan lagi untuk proses tenaga kerja dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi kemasukan mereka. Ia baru sahaja di peringkat permulaan.
“Patutnya pekerja asing perlu ada sekarang. Tetapi masalah-masalah awal dalam proses digitalisasi, ada beberapa isu kecil-kecil yang perlu diselesaikan, jadi sebaik sahaja selesai Mei ini, sistem itu akan menjadi lebih pantas,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zuraida turut berkata sebelum ini Malaysia menghasilkan 20 juta metrik tan dan dijangka boleh mencapai sasaran sehingga 25 juta metrik tan bagi tahun ini.
Beliau turut optimis dengan kemampuan Malaysia untuk menampung eksport minyak sawit ke luar negara. – UTUSAN










