RUU: Satu lagi sidang khas dalam masa terdekat

RUU: Satu lagi sidang khas dalam masa terdekat

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mencadangkan tarikh baru untuk satu lagi sidang khas Parlimen bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lom­pat Parti ekoran penangguhan pembentangan ka­­li kedua yang sepatutnya dibuat Isnin ini.

Sidang khas itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rak­yat dan Dewan Negara.

Pihak kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik telah bersetuju untuk mengadakannya dalam masa terdekat.

Penangguhan itu adalah yang kedua selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan pertama pada 24 Mac lalu sebelum dianjak ke 11 April ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ke­nyataan bersama semalam.

Keputusan itu dibuat setelah kedua-dua pihak mengadakan pertemuan pada tengah hari semalam ekoran kenyata­an Wan Junaidi sebelum ini yang mengesahkan penangguhan itu.

Bagaimanapun, kata kenya­taan itu, sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April ini akan diteruskan seperti dirancang untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) No.3) 2022.

“Kedua-dua pihak menyatakan komitmen menyokong bagi membolehkan Rang Undang-Undang itu mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, kedua-dua sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan itu.

“Antara yang dipersetujui kedua-dua pihak adalah untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen itu,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Wan Junaidi memaklumkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti ditangguhkan buat kali kedua, selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu

Katanya, ini setelah Kabinet tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Namun, Wan Junaidi menjelaskan, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU tersebut dibentangkan pada masa hadapan.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penangguhan itu akan menjejaskan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini.

“Parti mana yang tak setuju? UMNO dan BN sokong anti lompat parti. Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 sebut kami sokong. Bukankah pindaan Perlembagaan lagi kuat dibanding hanya akta?

“Apa guna MoU jika tidak sepakat untuk perkara sepen­ting Anti Lompat Parti? Ke laut lah MoU itu,” katanya.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub pula menyifatkan tiada alasan penggubalan RUU Anti Lompat Parti dilambat-lambatkan.

“Akta ini perlu dibahas dan diluluskan dengan kadar segera terutamanya sebelum menjelang PRU-15 sebagai jaminan terhadap kelancaran demokrasi negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.

“Kita percaya pada peringkat awal penggubalan Akta Anti Lompat Parti ini berkemungkinan mempunyai kelompongan, namun ia tidak patut dijadikan alasan untuk tidak menyegerakan pembentangan dan perbahasan mengenai akta ini. Penambahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN