KUALA LUMPUR: Konsep khemah besar dianggap jalan terbaik untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pembangkang merangka strategi satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRN15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini hanya pendekatan tersebut yang sesuai dalam tempoh suntuk ketika ini.
“Sekarang ini, dalam usaha kita (Bersatu dan PH) untuk menang satu lawan satu pada pilihan raya umum, kena ramai pengundi berdasarkan majoriti, jadi, sesiapa yang dapat memberikan ramai sokongan, itulah yang sepatutnya dan saya nampak terbaik.
“Namun, apa sahaja bentuk perpaduan parti-parti politik atau khemah besar, saya menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti Bersatu, bagaimana untuk menentukan hala tuju terbaik untuk Bersatu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Senada dengan beliau, ahli MPT Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, secara peribadi, beliau mahu perkara itu diperhalusi majlis tertinggi sekiranya Perikatan Nasional (PN)-Bersatu benar-benar mahu menumbangkan BN dalam pilihan raya secara ‘dua mata’.
Ditanya jika Bersatu sanggup meninggalkan Pas demi memenuhi hasrat kerjasama tersebut ketika Pas jelas menolak menyertai khemah besar itu, Eddin Syazlee bagaimanapun enggan memberi komen.
“Ini terpulang pada pimpinan tertinggi. Tapi, hingga kini hubungan Bersatu dengan Pas masih baik, dalam apa jua keadaan kita menang kalah tetap bersama selain hubungan dalam kerajaan cukup baik.
“Berbalik pada kerjasama dalam khemah besar, tidak manis bincang hal ini secara terbuka sebab kita masih bersama sebagai kerajaan, tetapi kalau ditakdirkan tiada kerjasama lagi dengan Bersatu dan Pas, inilah pilihan yang ada (khemah besar PH),” katanya.
Pun begitu, ahli MPT Bersatu, Datuk Razali Idris pula berkata, Bersatu lebih gemar menggunakan konsep ‘collaboration electro pack’ dalam soal jalinan kerjasama dengan PH kerana menerusi kolaborasi itu, Bersatu dan PH akan mencapai persefahaman.
Bagaimanapun, katanya, semua parti tetap bertindak mengikut acuan tersendiri berbanding berada di bawah khemah besar yang dibimbangi akan didominasi oleh parti tertentu di dalam PH.
“Bersatu tidak pernah bincang tentang khemah besar. Apa yang kami sebutkan ialah electro pack, bermakna ‘kau-kau, aku-aku’ untuk pastikan berlaku perlawanan satu lawan satu. Sebab khemah besar ini, maksudnya PH akan kuasai.
“Kalau pun tiada kerjasama dengan PH, maka kami tiada masalah dan tetap bertanding dalam pilihan raya lawan BN. Pas sudah kata tiada kerjasama dengan PH, jadi prinsip mereka Bersatu kena raikan sebab kami juga hadapi perkara sama.
“Sebelum itu, kena pertimbang juga cara PH ini, sebab cara mereka kelihatan angkuh seperti Presiden Amanah (Parti Amanah Negara) yang memperlekeh jumlah kerusi Bersatu dalam pilihan raya negeri sebelum ini sedangkan PKR sendiri kalah teruk. Bersatu sebaliknya mempunyai sokongan rakyat paling kuat,” katanya.
Utusan Malaysia menghubungi parti pembangkang lain termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan (Warisan), bagaimana, tiada maklum balas mengenai ‘khemas besar’ yang disebutkan. – UTUSAN










