PUTRAJAYA: Golongan muda negara ini berpeluang menjana pendapatan lumayan menerusi industri teknologi dron yang menawarkan 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kementeriannya menjadi penggerak pantas dalam industri teknologi dron itu melalui usaha kerjasama dan pelbagai inisiatif membolehkan Malaysia berada di kedudukan tiga teratas dalam Indeks Kesediaan Dron.
Beliau berkata, Malaysia juga kini menguasai saiz pasaran terbesar di Asia Tenggara apabila nilai pasaran dron sedunia ketika ini adalah AS$26.3 bilion, dan diunjurkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026, menurut laporan Drone Industry Insights (Droneii).
Pada masa sama, jelas beliau, Malaysia kini berpotensi memperoleh pulangan ekonomi melalui teknologi dron sebanyak RM50.71 bilion menjelang 2030 iaitu 4.3 peratus daripada jumlah pasaran dunia berdasar kajian yang dijalankan agensi di bawah seliaan kementerian iaitu Malaysia Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI).
“MRANTI kini menerajui pembangunan sebuah pelan tindakan ekosistem dron Malaysia yang bermatlamat untuk mencapai nilai itu meliputi RM2.77 bilion daripada sektor pertanian; RM20.73 bilion daripada sektor pembuatan atau industri dan RM28.14 bilion daripada sektor perkhidmatan.
“Perkhidmatan dron akan kekal sebagai penyumbang utama kepada nilai pasaran dron sedunia manakala pembuatan dan jualan hardware dijangka berkembang pesat. Kita perlu mengambil peluang ini untuk mengembangkan industri teknologi dron yang akan secara terus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara,” katanya di sini semalam.
Adham berkata, sebanyak 25 syarikat dron teknologi tempatan juga dikenal pasti kementerian turut dibantu melalui pelbagai inisiatif seperti Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).
Kata beliau, NTIS memainkan peranan untuk mempercepatkan pengkomersialan teknologi dron dalam pelbagai sektor melalui pemudahcaraan ujian, pendanaan dan pengawalseliaan dengan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.
Katanya, sejak pelancaran NTIS itu, empat lapangan ujian atau test site untuk menyokong perkembangan industri teknologi dron dimulakan di FELDA Mempaga, Pahang; Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) dan Dron penghantaran urban di Cyberjaya.
Selain itu, jelas beliau, lapangan ujian Area 57 dibangunkan yang merupakan pusat sehenti pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di wilayah tengah Malaysia.
“Area 57 yang bertempat di MRANTI Park, Bukit Jalil juga dilancarkan untuk menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan ekosistem bersepadu yang mana pendekatannya bertumpukan ‘Research-to-Commercialisation’ bagi memacu inovasi teknologi dron dan pengembangan bakat.
“Kawasan seluas dua hektar ini akan dijadikan infrastruktur bersepadu dan sandbox dengan penyediaan tujuh nilai cadangan iaitu menyelidik, membangun, menguji, memperakui, membuat (manufacture), mengkomersial serta menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron,” katanya.
Pada masa sama, Adham menjelaskan, melalui Area 57, negara dapat melaksanakan kajian kes yang lebih baik dan peraturan adaptif untuk mendorong inovasi. – UTUSAN










