DAP utamakan merit berbanding ras kaum - Utusan Malaysia

DAP utamakan merit berbanding ras kaum

TENGKU ZULPURI RAJA PUJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah keanggotaan Melayu dalam DAP adalah sesuatu yang bersifat subjektif kerana tanggungjawab menarik sokongan dan minat orang Melayu bukan hanya terletak di atas bahu pemimpin Melayu dalam parti itu sahaja.

Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang menolak cadangan bekas wakil rakyat DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang menggesa parti itu melantik sekurang-kurangnya enam orang ahli Melayu dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Zulpuri berkata, Norhizam tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi dan autoriti bagi membolehkan beliau mengeluarkan pandangan sebegitu.

“Datuk Norhizam tak pernah duduk dalam CEC dan beliau juga dikira baharu dalam DAP. Beliau bertuah masuk DAP, terus dapat bertanding dan apabila Pakatan Harapan (PH) menang terus jadi Exco.

“Banyaknya Melayu dalam CEC adalah subjektif. Tugas menarik orang Melayu ke dalam DAP, atau agar menyokong PH bukan hanya terletak pada bahu pemimpin Melayu DAP dalam CEC sahaja.

“Tapi semua pemimpin CEC memainkan peranan yang sama untuk menarik semua golongan rakyat Malaysia, bagi membina Malaysia yang progresif, berdaulat serta dapat hidup bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Norhizam mungkin didorong salah anggap bahawa Melayu mesti diberi kuota atau keistimewaan tertentu dalam DAP sedangkan parti itu hanya menitikberatkan soal merit sahaja.

“Saya tak tahu cara penilaian atau pemikiran Norhizam, mungkin beliau beranggapan Melayu mesti diberi keistimewaan atau kuota dalam DAP. CEC adalah jawatankuasa yang tertinggi yang membuat dasar.

“Saya dah berada dalam DAP lebih 20 tahun, saya lalui seperti orang lain masuk dalam DAP, bermula dari bawah, dari ahli majlis, menjadi ADUN Mentakab (ketua pembangkang Pahang) dan sekarang Ahli Parlimen Raub dan pernah jadi Timbalan Menteri selama 22 bulan PH memerintah. Tiada keistimewaan yang tertentu, ia juga mengambil kira merit, kebolehan, intelektual seseorang itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zulpuri berkata, jumlah keahlian Melayu dalam kepimpinan DAP tidak seharusnya dilihat sebagai satu isu, sebaliknya ia bergantung kepada daya saing masing-masing.

“Kemungkinan ada yang tak bertahan lama dalam DAP, mungkin apa yang mereka inginkan tak tercapai. Ramai atau tidak itu terpulang kepada daya saing, keupayaan serta merit pemimpin Melayu itu sendiri kerana kita mengamalkan ideologi sosial demokrasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN