PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa merujuk kepada pendedahan rakaman video pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia sebelum membuat pengesahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, tindakan Jakim bergantung kepada jaminan badan pensijilan halal di Australia, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) bahawa tidak berlaku sebarang salah laku, amat meragukan.
Katanya, ini termasuk memberi kepercayaan penuh kepada Atase Halal yang dilantik Jakim berpangkalan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, sesuatu yang mencurigakan.
VIDEO menunjukkan beberapa ekor kambing dipercayai dilemaskan dalam takungan darah di sebuah pusat penyembelihan. – GAMBAR SUMBER
Beliau mendakwa, tarikh dan waktu pemantauan atau audit yang akan dilakukan dimaklumkan seawal dua minggu sebelum pemantauan itu dilakukan sekali gus memudahkan mana-mana syarikat untuk membuat persediaan terbaik sebelum pemeriksaan.
“Kita mengalu-alukan maklum balas Jakim yang akhirnya menjawab kebimbangan masyarakat Islam berhubung isu ini selepas dibangkitkan sejak bulan lalu.
“Namun, siasatan Jakim hanya bergantung kepada jaminan SICHMA iaitu badan pensijilan halal (FHCB) yang diiktiraf terhadap rumah sembelihan itu. Jakim bagaimanapun tidak menyatakan bahawa amalan sembelihan yang dirujuk menerusi bukti video itu adalah tidak benar atau sebaliknya,” katanya di sini semalam.
Jakim sebelum ini mengesahkan Thomas Foods Industries di Australia mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan yang ditetapkan pihak berkuasa Australia.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries pada 2 Mac lalu mendapati ia mematuhi peraturan ditetapkan.
Dalam pada itu, sumber terbabit berkata, rumah penyembelihan yang diiktiraf halal untuk eksport ke Malaysia perlu disahkan oleh Jakim, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta FHCB Australia, selain Atase Halal Jakim yang berpangkalan di Australia juga melakukan audit pemantauan berkala.
“Perkara itu tidak ada isu, namun, timbul tanda tanya apabila pelaksanaan audit terhadap rumah penyembelihan dimaklumkan lebih awal.
“Sudah tentu atas kepentingan komersial, rumah penyembelihan membuat persediaan untuk audit dan memastikan juruaudit dapat menilai apa yang sepatutnya,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan, segala bukti adalah daripada sumber sahih yang pernah bekerja di rumah penyembelihan itu yang melihat apa yang berlaku hampir setiap hari.
Untuk itu, beliau mempersoalkan adakah Jakim menyiasat bukti rakaman video itu dan meyakini bahawa kejadian salah laku itu tidak berlaku dan dakwaan itu adalah palsu semata-mata.
“Mengapa Jakim tidak memulakan siasatan terhadap dakwaan ini, termasuk menemu bual kakitangan penyembelihan Islam semasa dan terdahulu. Lagipun Jakim ada wakil di Australia.
“Jakim mengiktiraf tujuh FHCB di Australia, tetapi mengapa Jakim secara terbuka hanya mempromosikan atau berkongsi profil hubungan dengan SICHMA sedangkan ini tidak berlaku dengan FHCB yang lain,” soalnya. – UTUSAN










