ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN) tidak ada pilihan selain perlu menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi membentuk gabungan yang kuat bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, Bersatu berdepan laluan cukup sukar dalam PRU15 memandangkan parti tersebut tidak mempunyai kekuatan akar umbi manakala Pas pula hanya mempunyai sokongan di sesetengah kawasan sahaja seperti di pantai timur.
Katanya, kekuatan PN ketika ini dilihat bergantung kepada sokongan penyokong serta akar umbi Pas dan ia tidak cukup kukuh ke arah menghadapi PRU-15.
Malah jelasnya, situasi tersebut juga telah dibuktikan apabila PN kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka baru-baru ini.
“Kalau kita lihat, landskap politik Malaysia selepas Pakatan Harapan (PH) jatuh pada Mac 2020 menyaksikan pembentukan kerajaan yang tidak stabil. Setiap parti politik dilihat ingin menjadi ‘juara’ dan mempunyai agenda masing-masing.
“UMNO sudah tentu ingin kembali mendominasi atau mengetuai dan mereka sememangnya yakin mampu untuk bergerak sendirian.
“Masalah PN sekarang adalah Bersatu tidak mempunyai akar umbi yang kuat. Jadi Bersatu tidak ada pilihan selain perlu menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, tidak boleh bergerak solo,” katanya.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan, Pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad didatangi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kira-kira dua minggu lalu bagi membentuk kerjasama baharu menjelang PRU-15.
Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, usaha PN untuk mengukuhkan imej dilihat agak terlewat memandangkan PRU-15 dijangka tidak lama lagi.
Jelasnya, mahu tidak mahu Bersatu atau PN perlu bergabung dengan parti-parti politik pembangkang lain.
“Bagaimanapun, jika Bersatu bersama PH dilihat bakal menjadi isu memandangkan Pas sudah tentunya agak sukar menerima Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Apa pun, sebaiknya dalam sesuatu pilihan raya ini adalah pertembungan satu lawan satu,” katanya. – UTUSAN










