129,780 pelajar UiTM B40

129,780 pelajar UiTM B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dakwaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) lebih mementingkan pelajar golongan berada tidak berasas kerana 129,780 orang atau 70 peratus daripada 185,400 pelajarnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Hanya 55,620 atau 30 peratus pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah itu berasal dari keluarga berpendapatan sederhana (M40) dan pendapatan tinggi (T20).

Statistik tersebut sekali gus menolak dakwaan pihak yang me­nuduh institusi pengajian tinggi itu tidak lagi memperjuangkan golongan berkenaan dalam memberi peluang pendidikan.

Malah, tuduhan UiTM tidak telus dengan memberi peluang kepada anak orang kaya mengikuti pengajian menggunakan ‘orang dalam’ juga tidak benar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, pengambilan bagi setiap kemasukan ke institusi tersebut dibuat berdasarkan merit dengan memberi keutamaan kepada pelajar B40.

“Kita ada kira-kira 70 peratus pelajar yang terdiri daripada golongan B40 atau bersamaan 185,400 bagi tahun ini. Tidak dinafikan memang ada golo­ngan M40 dan T20.

“Tapi segala asas terletak pada merit. Jika ada anak-anak staf yang memohon sekalipun, mereka telah mengisi dalam ruangan perakuan dan pengambilan mereka tetap bersandarkan merit,” jelasnya.

Sebelum ini tular di media sosial selepas seorang pempengaruh yang merupakan pelajar UiTM memuat naik gambar percutian mewah ke luar negara.

Ekoran penularan gambar itu, timbul pelbagai dakwaan terhadap UiTM kononnya institusi berkenaan mengamalkan dasar pengambilan pelajar berdasarkan kapasiti ‘orang dalam’.

Tegas Roziah, beliau sendiri tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti wujudnya pengambilan menerusi ‘orang dalam’.

Bercakap mengenai yuran pengajian katanya, setakat ini yuran UiTM adalah yang paling rendah.

Sebagai contoh, katanya, yuran pengajian diploma hanya RM540 satu semester dan bagi sarjana RM590.

“Nak bandingkan dengan yuran tadika? Kita masih lagi murah,” katanya.

Dalam pada itu, Roziah berkata, sebanyak 90 peratus pelajar UiTM menerima bantuan daripada peruntukan RM25 juta untuk disalurkan kepada pelajar miskin.

“Bantuan diberikan kepada pelajar miskin dalam tempoh lima tahun. Bantuan tersebut termasuk komputer riba kepada mereka yang memerlukan.

“Pelajar boleh memohon dan kita sendiri ada aplikasi untuk permohonan berkenaan. Pelajar hanya tinggal untuk mengisi sahaja segala maklumat yang diperlukan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN