PETALING JAYA: Selain Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, usul mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dijangka turut dibentang dalam Sidang Khas Parlimen pada 11 April depan.
Perkara tersebut disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
“Setakat ini sidang khas ini berlangsung pada sehari. Namun terdapat dua agenda iaitu RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkenaan peruntukan anti lompat parti dan juga bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun,’’ katanya.
Selepas memperoleh majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat, kedua-dua undang-undang itu bakal dikemukakan kepada Dewan Negara untuk diluluskan sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dijangka pada 19 April depan.
LIBAT URUS
Buat masa kini, semua pemimpin tertinggi parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijemput menghadiri sesi libat urus bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri sebelum dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan serta Kabinet.
Dalam pada itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah dijemput untuk menghadiri sesi libat urus tersebut berlangsung semalam yang diwakili Ahli Parlimen Pengarang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, BN masih kekal berpendirian RUU Anti Lompat Parti mesti dibentangkan dan diluluskan segera kerana berpandangan undang-undang itu amat penting untuk menjaga kestabilan politik daripada ahli Parlimen melompat parti.
“Pandangan parti sama dengan segala idea dan cadangan lompat parti yang pernah dibangkitkan Datuk Azalina sama ada menulis tulisan beliau dan kertas kerja beliau. Namun paling penting bagi BN agar undang-undang anti lompat parti perlu disegerakan demi memastikan mandat rakyat tidak dikhianati dan memulihkan keyakinan awam,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan komitmen berhubung RUU itu akan dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat melalui satu Sidang Khas pada bulan Ramadan ini.
Pada 18 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan khususnya BN dan PN bagi memastikan ia mendapat sokongan mereka di Dewan Rakyat. – UTUSAN










