PETALING JAYA: Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang terlalu luas menimbulkan kebimbangan ahli-ahli parlimen dan menyebabkan perkara tersebut perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka membangkitkan agar undang-undang itu yang membabitkan soal kebebasan berpersatuan perlu diperinci dikhususkan untuk anggota Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, justeru penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bertujuan untuk memperlihat semua pandangan ahli parlimen berhubung isu-isu berbangkit termasuk membabitkan pindaan Perkara 10.
“Ketika sesi libat urus bersama ahli Parlimen pada Ahad lalu, ramai membangkitkan pandangan berkenaan pindaan Perkara 10 yang disifatkan terlalu luas dan berpandangan perlu dimasukkan frasa untuk ahli parlimen dan ADUN sahaja, adakah ia untuk rakyat keseluruhan?
“Justeru mesyuarat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan wakil-wakil Pakatan Harapan setuju supaya pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
Kelmarin, Wan Junaidi mengemukakan satu usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bertujuan untuk meneliti dan memuktamadkan draf Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Jawatankuasa Pilihan Khas itu diberi kebebasan menjemput mana-mana pihak berkaitan seperti ahli-ahli parlimen, pakar-pakar perundangan dan perlembagaan, badan-badan bukan berkepentingan (NGO) dan masyarakat madani serta individu-individu lain untuk hadir dalam persidangan Jawatankuasa Pilihan Khas dari masa ke semasa.
Dalam pada itu, Wan Junaidi menegaskan tanggapan bahawa proses penggubalan RUU Anti Lompat Parti dilihat cacamarba dan lambat dilihat seolah-olah memperlekehkan institusi Parlimen.
Katanya, hal ini kerana keputusan untuk menyerahkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas telah dipersetujui sebulat suara ahli parlimen.
Katanya, langkah itu bukan perkara baharu malah satu proses biasa ketika penggubalan satu undang-undang khususnya apabila membabitkan pindaan perlembagaan.
“Rakyat kena faham bahawa ini satu proses undang-undang dan hakikatnya ini merupakan amalan biasa, pernah berlaku sebelum ini,” katanya.- UTUSAN










