PETALING JAYA: Ahli Kabinet bertelagah punca Draf Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak dapat dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Draf RUU Anti Lompat Parti yang sudah disiapkan tidak ada kecacatan yang mengganggu proses pembentangan yang sudah dijadualkan.
Bagaimanapun, menurut beliau, penundaan kali kedua pembentangan disebabkan berlaku ketidaksepakatan dalam kalangan ahli Kabinet berhubung draf undang-undang itu.
“RUU itu tidak dapat diluluskan sekali gus perlu ditangguhkan ke satu lagi sidang khas yang lain.
“Tidak ada kecacatan kepada draf undang-undang yang dibuat itu. Hanya mereka yang tidak bersetuju kepada ruang lingkup dan parameternya berfikir demikian. RUU pindaan Perlembagaan itu adalah yang terbaik.
“(Jadi) Sebab tidak (ada) kata sepakat lah, maka RUU (yang) sudah lapan bulan di taklimat dan diperjelas kepada semua pemegang taruh (itu) tidak lulus oleh Kabinet,” katanya, di sini” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Wan Junaidi mengumumkan penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini. Ini penangguhan kali kedua selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.
Pembentangan
Bagaimanapun, Wan Junaidi memberitahu, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat dibentangkan kelak.
Dalam pada itu, Wan Junaidi dalam satu kenyataan pula mengakui kecewa apabila pembentangan RUU tersebut terpaksa ditangguhkan buat kali kedua selepas lapan bulan bekerja keras untuk merealisasikannya.
Bagaimanapun, menurutnya, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa Kabinet adalah kuasa tertinggi dan sebagai ahli Kabinet, beliau turut kena akur dengan keputusan Kabinet.
“Perasaan peribadi saya tak penting. Namun, usaha tidak terhenti di sini sahaja kerana RUU ini akan dibentangkan dalam satu lagi sidang khas Parlimen yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Semoga segalanya dipermudahkan dan semua pihak yang terlibat komited memberikan sokongan,” ujarnya.- UTUSAN









