Anwar tidak perlu ikut jejak Kit Siang - PKR

Anwar tidak perlu ikut jejak Kit Siang – PKR

ABDULLAH SANI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengikut jejak Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersara daripada politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, walaupun banyak suara mendesak Anwar berundur, namun PKR masih memerlukan khidmat beliau terutama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, PRU15 adalah penentu untuk Presiden PKR itu terus membuat perubahan mengikut apa yang digariskan sebelum ini.

“Anwar belum perform dan dia punya sumbangan bakti diperlukan. Sebab itu halangan demi halangan dibuat sebab takut dia nak buat reformasi. Isu untuk beliau perlu berundur, langsung tidak timbul.

“Kita punya keperluan untuk Anwar berkhidmat, kita kena ada pemimpin yang mempunyai kekuatan dalam dan luaran untuk membina sebuah negara yang lebih adil untuk semua,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kit Siang bersara dalam politik selepas hampir 60 tahun dalam bidang tersebut, malah beliau juga tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada PRN15.

Dalam pada itu, Setiausaha Otai Reformis 1998 (Otai), Abdul Razak Ismail turut senada dengan Abdullah yang menjelaskan, Anwar tidak perlu mengambil tindakan sama seperti pemimpin veteran DAP itu bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk memimpin parti berkenaan.

“Kit Siang itu dah lama sangat, Anwar baru dilantik satu penggal ini sebagai Presiden PKR sebaik sahaja keluar penjara. Kalau nak cakap tentang kegagalan di beberapa pilihan raya negeri (PRN) , dia seorang sahaja ‘one-man show’ sebab kebanyakan ahli Parlimen yang melompat itu adalah orang dalam jawatankuasa.

“Cuba tengok UMNO berapa ramai yang membantu? Jadi kita tidak boleh nak letakkan kesalahan pada dia seorang,” katanya.

Sebelum ini, seorang ADUN DAP menggesa Anwar berundur sebagai ketua pembangkang berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.

Menulis di Facebook, Adun Bilut, Lee Chin Chen berkata, pakatan pembangkang perlu meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×