8,145 ubat beracun

8,145 ubat beracun

ubat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pil gugur, ubat pelangsing badan serta perangsang seks dikenal pasti antara 8,145 produk kesihatan yang dijual dalam platform e-dagang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sehingga dianggap berbahaya kerana ti­dak dijamin keselamatannya.

Selain itu, produk-produk lain seperti suntikan vitamin C dan antibiotik yang dijual dalam platform tersebut turut tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Bahan-bahan yang terkan­dung di dalamnya antaranya racun berjadual bo­leh mengundang kesan buruk terhadap kesihatan seperti me­ningkatkan tekanan darah, risiko serangan jantung serta strok ter­utamanya dalam kalangan pesa­kit darah tinggi, kencing manis serta masalah buah pinggang.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengarah Kanan Per­khid­matan Farmasi Kementerian Kesihatan, Norhaliza A Halim ber­kata, kemunculan pelbagai pro­duk tidak berdaftar terus melonjak seperti cendawan tumbuh se­lepas hujan.

Katanya, lebih membimbang­kan pengguna memandang re­meh soal isi kandungan dan ju­ga bahan-bahan yang digunakan dalam sesuatu ubat-ubatan dan juga produk yang tidak ber­daftar.

“Produk tidak berdaftar tidak dijamin kualiti, kese­lamatan dan keberkesanannya se­lain ia juga berisiko berisiko dicampur dengan bahan terla­rang, racun berjadual dan ubat terkawal.

“Pengambilan produk itu be­risiko memberi pelbagai kesan bu­ruk kepada pengguna seperti kerosakan buah pinggang dan organ dalaman kerana mungkin terdapat bahan terlarang selain tidak mengikut sukatan yang ber­sesuaian bagi menghasilkan produk tersebut.

“Sebagai contoh, penggunaan ubat kuat atau perangsang seks yang dicampur racun berjadual seperti sildenafil dalam jumlah yang tinggi dan tanpa pemantauan doktor boleh mem­beri kesan negatif seperti merasa mual, muntah-muntah, muka kemerah-merahan dan pening.

“Selain itu, bahan-bahan ini meningkatkan tekanan darah dan denyutan jantung dan seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah buah pinggang,” katanya.

Menurut Norhaliza, sepanjang tahun lalu, pihaknya telah melakukan serbuan ke atas 1,202 premis menjual produk tidak berdaftar dengan nilai rampasan sebanyak RM22,275,319.

Bagi tahun ini, pula katanya, sehingga Januari lalu, sebanyak 130 premis diseluruh negara telah diserbu dengan nilai rampasan ubat tidak berdaftar bernilai RM1,681,532.

“Serbuan terbabit hasil 1,107 aduan yang diterima bagi tempoh tahun lalu hingga Januari lalu. Tindakan penguatkuasaan itu juga membuktikan KKM mengambil serius mengenai penjualan ubat tidak berdaftar.

“Selain daripada tindakan penguatkuasaan yang berterusan, KKM juga sentiasa menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan dan pastikan ia mendapat kelulusan.

“Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400.

“Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu katanya, kementerian berkenaan tidak memberikan sebarang cop kepada ubat-ubatan atau produk, sebaliknya, ubat atau produk ini perlu berdaftar dengan PBKD sebelum ia boleh dipasarkan.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai data kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan atau produk tersebut dan kelulusan akan dikeluarkan oleh PBKD jika penilaian tersebut didapati memuaskan.

“Produk yang telah diluluskan akan diberikan lapan nombor pendaftaran dan dihadapannya (No. MAL) diikuti huruf A (ubat terkawal), X(am atau over-the-counter), T (ubat kesihatan) dan N (suplemen kesihatan) serta mempunyai pelekat keselamatan Hologram,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan terus telah meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan ubat tidak berdaftar secara dalam talian pada masa akan datang bagi melindungi pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×