JOHOR BAHRU: Pemimpin parti menyifatkan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi yang berada di Singapura mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara undi pos memberi peluang kepada mereka dalam memilih pemimpin.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan menyambut baik langkah itu dan SPR membuat tindakan yang betul untuk melaksanakan undi pos di Singapura.
Katanya, dalam PRN Melaka pada November tahun lalu, bilangan mereka yang dibenarkan mengundi pos diakui memang amat sedikit, namun dalam konteks Johor ia sama sekali berbeza kerana terdapat bilangan pengundi yang ramai di Singapura.
“Apabila SPR benarkan warga kita di sana mengundi pos, ia satu tindakan bijak untuk memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin negeri ini. Tahniah SPR kerana menjadi orang tengah yang tak terlibat dengan kepentingan mana-mana pihak.
“Sebenarnya tidak timbul sama ada kaedah undi ini beri kelebihan kepada pihak A atau B atau pun kekangan kepada pihak lain, tetapi pada saya ia adalah hak kepada rakyat sebagai warga negara yang sah dalam proses demokrasi negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar SPR menggunakan pejabat kedutaan sebagai tempat untuk membuang undi kepada mereka yang berada di Singapura dan terus melakukan proses kiraan undi di hadapan wakil-wakil parti.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, menjadi hak setiap pengundi berdaftar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri.
Katanya, dakwaan UMNO dan BN tidak mahu pengundi luar termasuk mereka yang kini berada di Singapura pulang mengundi adalah prasangka yang tidak baik dan sama sekali tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.
“Dakwaan UMNO berharap peratusan keluar mengundi rendah tak timbul.
“Itu adalah perkara biasa, dalam siri pilihan raya umum sebelum ini pun ada sahaja undi pos. Jadi memang kita sokong, pada masa sama UMNO pun tak pernah mengecil, mengurang atau menahan apa-apa proses ditetapkan SPR.
“Apa sahaja kaedah atau peraturan memang kita akan ikut, dengan cara undi pos itu pengundi berpeluang melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing kerana kita faham terdapat kekangan ketika ini sehingga mereka tidak dapat pulang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










