Mahkamah patut diberi peranan dalam RUU antilompat parti.

Mahkamah patut diberi peranan dalam RUU antilompat parti

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bidang kuasa mahkamah perlu dimasukkan dalam draf undang-undang (RU­­U) antilompat parti bagi menen­tukan status wakil rakyat terlibat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, perkara itu amat penting bagi mengelakkan polemik dan pelaksanaan perundangan lompat parti daripada terus menjadi pertikaian semua pihak.

Katanya, institusi kehakiman merupakan badan sesuai dalam menentukan status wakil rakyat yang melompat parti dan menetapkan implikasi undang-undang yang wajar dalam kerangka perlembagaan sekiranya perkara itu terjadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika pelucutan status sebagai ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara automatik apabila seorang itu melompat parti atau dilucutkan keahlian oleh parti, itu boleh menjadi polemik tidak kesudahan.

“Contohnya, sekiranya ahli Parlimen tidak bersetuju kepim­pinan parti kerana mempertahankan kedaulatan undang-undang sehingga menjadi wakil bebas atau dipecat, adakah wajar menerima hukuman lucut keahlian Parlimen atau DUN sama dengan kes lompat parti yang lain?

“Oleh demikian cara paling terbaik adalah menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada ahli Parlimen terlucut keahliannya apabila melompat parti atau dilucutkan. Selain itu, mahkamah boleh membuat keputusan sama ada kekosongan berlaku dan perlu diadakan pilihan raya atau sebarang tindakan lain termasuk denda,” katanya.

Optimis

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, masih banyak perkara belum disiapkan kerana libat urus bersama parti politik mewakili Ahli Parlimen masih belum mencapai konsensus berhubung beberapa persoalan dasar diinginkan Jabatan Peguam Negara termasuk definisi lompat parti.

Namun beliau optimis dapat akta itu dibentang pada Mac ini walaupun berhadapan keka­ngan di dalam mendraf undang-undang tersebut.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, penggubalan undang-undang lompat parti perlu melihat kepada kerangka kedaulatan undang-undang dan bukan membabitkan aspek kepentingan politik tertentu sahaja.

“Sekiranya mengambil asas kepentingan kepartian, sampai bila undang-undang ini tidak akan berjaya dibentang kerana masing-masing ingin mempertahankan kepentingan sendiri sedangkan penggubalan perlu melihat daripada segi kedaulatan undang-undang dan maslahah rakyat” katanya.

Beliau menambah, penggu­balan undang-undang lompat parti tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan perlulah mengambil pandangan awam supaya tidak menimbulkan masalah selepas diluluskan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN