Parti Bangsa Malaysia (PBM) bukan parti nyamuk - Larry Sng - Utusan Malaysia

Parti Bangsa Malaysia (PBM) bukan parti nyamuk – Larry Sng

LARRY SNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu ditubuhkan bukan ‘parti nyamuk’ seperti didakwa segelintir pihak yang melihat ia tidak mampu membawa perubahan dalam politik nasional.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Larry Sng Wei Shien berkata, dakwaan tersebut terlalu naif ketika partinya mempunyai wakil rakyat di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan struktur akar umbi yang kukuh.

“Bagaimana anda katakan parti ini tidak boleh membawa sebarang impak dalam politik negara? Ada parti yang sudah lama bertapak di negara ini, tetapi hakikatnya, tiada seorang pun mewakili mereka di Parlimen DUN.

“Ini penting untuk penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, apa pun jenis dasar yang kita mahu bangkitkan di Parlimen dan DUN, itulah yang akan mentakrifkan sesebuah parti,” katanya ketika ditemui di ibu negara semalam.

LARRY Sng (depan enam dari kiri) dan Haniza (depan lima dari kiri) bergambar bersama Ahli-ahli Jawatankuasa baharu PBM.

Kelmarin, Larry diumumkan menyandang jawatan Presiden selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu. Pada 27 Oktober tahun lalu, PBM tular selepas kepingan gambar menunjukkan parti itu telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang ketika itu belum diketahui gerangan pengasasnya.

PBM mempunyai dua ahli Parlimen termasuk Larry dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) serta lima ADUN iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya); Daroyah Alwi (Sementa); A. Sivasubramaniam (Buntong); Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) dan Leong Cheok Keng (Malim Nawar).

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Julau itu berkata, PBM menyasarkan lebih 100,000 ahli akan menyertai parti tersebut tahun ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan PBM setaraf parti-parti politik lain.

Ketika ini katanya, PBM sudah mempunyai 12 bahagian, 40,000 ahli di Sarawak dan 53,000 ahli dianggotai Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinaungi Datuk Seri Zuraida Kamaruddin, semasa menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sekarang, setiap hari keahlian parti meningkat. Saya yakin tahun ini kami boleh mencapai sasaran. Dalam masa terdekat juga kami akan membuka lagi bahagian di tempat lain termasuk seorang ahli anggota baru dari Semenanjung untuk negeri masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN