Bebas atau bela diri, nasib Ahmad Zahid ditentukan 24 Januari - Utusan Malaysia

Bebas atau bela diri, nasib Ahmad Zahid ditentukan 24 Januari

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat tahun `panjat tangga mahkamah’, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui nasibnya pada 24 Januari ini sama ada diperintah membela diri atau dibebaskan daripada 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram puluhan juta dana Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi di sini akan menjadi tumpuan negara Isnin ini bagi menunggu keputusan yang bakal diumumkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang telah mendengar keterangan 99 orang saksi pendakwaan bermula 18 November 2019.

Hakim berkenaan turut mendengar dan meneliti pembentangan hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September 2021.

Walau apapun keputusan mahkamah kelak, penghakiman tersebut sedikit sebanyak akan mencorak masa depan karier politik Presiden UMNO tersebut sama ada maruahnya akan terus terpalit dengan pertuduhan jenayah atau namanya dibersihkan jika beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Rentetan perjalanan kes terhadap Ahmad Zahid bermula apabila beliau hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Julai 2018 bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kemudian dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut masing-masing pada 10, 11, dan 12 Oktober sebelum ditahan pada 18 Oktober 2018 dan seterusnya didakwa keesokan harinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebanyak tiga kali masing-masing pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019 sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pada prosiding yang berlangsung 6 Disember 2021, Hakim Collin turut menetapkan tarikh-tarikh pada bulan Mac, April, Mei dan Jun ini untuk mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan jika mahkamah memutuskan Ahmad Zahid membela diri.

Perbicaraan itu `diwarnai’ dengan pelbagai peristiwa antara lain apabila Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar dipanggil menjelaskan keadaan kesihatan Ahmad Zahid yang menerima rawatan selepas mengadu sakit di bahagian tulang belakang akibat terjatuh.

Ahmad Zahid turut memohon untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya menjadi tiga, namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan pertuduhan adalah jelas dan boleh difahami untuk menyediakan pembelaan serta tidak menimbulkan sebarang isu prasangka.

Pihak pendakwaan memohon Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipanggil membela diri kerana keterangan di mahkamah menunjukkan tertuduh menerima wang melalui cek daripada tiga saksi pendakwaan iaitu Chew Ben Ben (SP34), Junaith Asharab Md. Shariff (SP36) dan Azlan Shah Jaffril (SP38).

Bagaimanapun, pihak pembelaan antara lain menghujahkan Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan kesalahan pecah amanah seperti dalam pertuduhan kerana wang RM10 juta milik Yayasan Akalbudi berfungsi sebagai pinjaman pelaburan kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.

Ini kerana Yayasan Akalbudi tidak mengalami sebarang kerugian kerana wang RM10 juta telah dipulangkan oleh syarikat itu beserta faedah hampir RM70,000 yang dijelaskan melalui dua keping cek.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×