BACHOK: Ikan belanak atau nama saintifiknya Valamugil seheli menjadi sumber rezeki alternatif nelayan dan penduduk di pesisiran Pantai Melawi, di sini, setiap kali musim laut bergelora.
Ikan yang suka mengejar buih ombak hingga ke gigi pantai tersebut memudahkan nelayan yang tidak dapat ke laut, menyauk atau menangkapnya untuk dijadikan juadah keluarga atau dijual.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Awang Lah Ismail, 57, berkata, ikan belanak muncul di Pantai Melawai setiap tahun mulai Disember dan berterusan hingga sekitar Januari atau Februari.
“Lagi besar ombak lagi banyak ikan, sekali gus menjadi lubuk rezeki kepada kami sejak sekian lama. Ikan ini secara tradisinya ditangkap penduduk sama ada menggunakan sauk besar atau jala.
“Suatu ketika dahulu kami berkampung seharian semata-mata untuk menyauk ikan belanak, namun akibat Covid-19, kemeriahan semakin pudar. Tidak ramai yang turun menyauk ikan lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Nor Awang, 38, berkata, dia mula menyauk ikan belanak selepas tidak dapat ke laut susulan musim tengkujuh dan bersyukur apabila masih mempunyai pendapatan sampingan.
Katanya, setiap hari sebanyak 10 hingga 15 kilogram ikan belanak diperoleh dan akan dijual kepada peraih dengan kadar RM8 hingga RM10 sekilogram bergantung kepada saiz ikan.
“Aktiviti menyauk ikan belanak sebenarnya berisiko kerana perlu meredah ombak namun ia sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan nelayan demi mencari pendapatan sampingan ketika tengkujuh.
“Saya menghasilkan sendiri sauk menggunakan pukat tangsi, kayu dan kepingan buluh dengan bermodalkan RM50. Teknik menangkap ikan seperti ini turut popular di Thailand dan Indonesia,” ujarnya. – UTUSAN










