BALIK PULAU: Sebanyak 2,000 cerun berisiko tinggi di seluruh negara kini berada dalam pemantauan rapi Kementerian Kerja Raya (KKR) berikutan permulaan musim Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan berpanjangan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada lebih 27,000 cerun yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
“Semua cerun tersebut telah dinilai tahap risikonya mengikut tahap keseriusan bagi menentukan keutamaan tindakan sama ada kerja mitigasi segera atau pemantauan berterusan.
“Daripada lebih 27,000 cerun itu pula, sebanyak 2,000 telah dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi dan sentiasa dipantau. Kita sudah tahu lokasi-lokasi cerun ini serta tahap seriusnya,” katanya selepas melawat tapak projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang, hari ini.
Alexander memberitahu, pemantauan dilakukan secara berterusan melalui pusat kawalan bencana JKR yang dikenali sebagai BiGBen.
“BiGBen ini berfungsi sebagai bilik gerakan bencana untuk memantau keadaan cerun, banjir dan segala insiden berkaitan di seluruh negara. Pemantauan ini juga dijalankan selama 24 jam terutamanya sepanjang musim tengkujuh,” katanya.
Alexander berkata, selain data cerun sedia ada, KKR turut menggunakan 73 stesen tolok hujan di seluruh negara bagi memberi amaran awal jika berlaku hujan luar biasa.
“Pendekatan itu membolehkan pihak JKR mengesan kawasan berisiko sebelum berlakunya kejadian tanah runtuh, sekali gus membantu menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kerosakan infrastruktur,” ujar beliau.
Sementara itu, Alexander turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berbukit dan kawasan cerun terutama di negeri-negeri yang terdedah kepada hujan lebat sepanjang musim monsun.
“Kita mengambil pendekatan tidak mengganggu cerun yang stabil kerana ada prinsip kejuruteraan tertentu iaitu jika diganggu, ia boleh menjadi lebih teruk. Namun, bagi cerun berisiko tinggi, tindakan segera telah dan sedang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN










