KUANTAN: Nelayan asing dari Vietnam kini dikesan lebih mengganas menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut di Laut China Selatan terutamanya semasa musim cuaca buruk.
Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Langkawi, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata, berdepan dengan jenayah laut termasuk pencerobohan nelayan asing terutamanya nelayan Vietnam yang dikesan aktif memasuki perairan negara antara cabaran dihadapi pihaknya.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sistem navigasi tanpa jaringan Internet dan telefon, berdepan dengan cuaca buruk selain meninggalkan keluarga dalam tempoh yang lama hingga 14 hari, namun tidak menghalang kru KM Langkawi mempertahankan kedaulatan perairan negara.
“Antara cabaran apabila berdepan dengan kesalahan melanggar undang-undang antaranya jenayah di laut terutamanya dengan nelayan yang sekarang ini semakin mengganas.
“Bila kita dekati, mereka lebih berkuasa (akan provok) kita adalah. Kita perlu ada ilmu lautan dan berani.
“Mereka akan masuk ikut musim cuaca buruk kerana anggap kapal besar ke lokasi tertentu adalah terhad, biasanya cabaran dia pada musim tengkujuh kerana lautan lebih bergelora dan cuaca lebih buruk,” katanya kepada pemberita semasa program Hari Bersama Media Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini semalam.
Program berlangsung selama dua hari bermula Ahad turut dirasmikan Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Menurut Eizanizam, KM Langkawi turut memiliki kru wanita yang mempunyai kepakaran masing-masing termasuk di bahagian operasi.
“Ada di bahagian penggeledahan, teknikal dan bekalan,” ujarnya.
Pegawai Geledah KM Langkawi, Leftenan Muda Maritim Nur Syuhada Faizah Mohammad Yazid berkata, beliau ditugaskan sebagai ketua geledah bagi pemeriksaan bot mengikut akta ditetapkan seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Perikanan 1985.
Jelasnya, setiap penggeledahan berdepan dengan pelbagai risiko terutamanya membabitkan nelayan asing.
“Antara cabaran pemeriksaan ke atas bot nelayan asing iaitu mereka akan bergerak laju, tukar haluan dan cuba lari. Apa yang kita buat, kita kejar untuk pastikan mereka berhenti,” katanya.
“Tugas ini mencabar sebab perlu bekerja dengan lelaki. Sebagai pegawai, saya perlu mengetuai mereka,” ujarnya.- UTUSAN










