1MDB: KPMG bayar RM340.92 juta - Utusan Malaysia

1MDB: KPMG bayar RM340.92 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mene­rima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (USD80 juta) daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia (Malaysia’s Assets Recovery Trust Account) melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, penyelesaian itu adalah susulan daripada pengumuman pada 16 September 2021 di mana KPMG bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan 1MDB terhadap firma perakaunan itu.

Setakat ini, Akaun Amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB dan akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB.

Pada 31 Disember 2021, kata­nya, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon atau keuntungan untuk bon dan Sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

September tahun lalu, media melaporkan MOF mengumumkan bahawa KPMG bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengau­ditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

Penyelesaian dengan KPMG, bernilai lebih daripada 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, adalah salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya