KUCHING: Selepas negara melalui tiga pilihan raya besar iaitu Sabah, Melaka dan Sarawak, tiada alasan lagi untuk ditangguhkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, keperluan mendapatkan mandat baharu rakyat di kesemua 222 kerusi Parlimen dan baki 372 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu disegerakan untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi Malaysia memasuki tahun baharu 2022.
“Paling awal PRU15 pada Mac tahun depan sebab saya fikir tidak ada alasan lagi untuk menangguhkan PRU15 bagi mewujudkan semula kestabilan Kerajaan Persekutuan.
“PRN di Sabah, Melaka dan Sarawak memberikan SPR satu pengalaman besar. Boleh sudah kenal pasti kelemahan sebelum ini dan mampu melangkah ke hadapan untuk mengadakan PRU15 tahun depan.
“Bagaimanapun ini bergantung pada budi bicara Perdana Menteri yang berkuasa membubar Parlimen,” katanya ketika dihubungi.
Sejumlah 183 kerusi DUN telah diisi setakat ini melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020, PRN Melaka (20 November 2021) dan PRN Sarawak yang akan diketahui keputusannya malam ini.
Sementara dua kerusi Parlimen Gerik dan Batu Sapi belum diisi kekosongannya melalui pilihan raya kecil ekoran pandemik Covid-19.
Selain isu pandemik Covid-19, ketidakstabilan politik sejak Februari tahun lalu menyebabkan berlaku dua kali pertukaran kerajaan dan tampil Perdana Menteri ketiga dalam tempoh dua tahun turut merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Senada dengan Awang Azman ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir yang merujuk kepada banyak negara melaksanakan pilihan raya meskipun dilanda pandemik.
“Sebanyak 112 negara dan wilayah dari seluruh dunia telah mengadakan pilihan raya sejak pandemik Covid-19. Ini termasuk Korea Selatan dan Singapura yang mengadakan pilihan raya tahun lalu.
“Jadi, tiada alasan untuk kerajaan menangguhkan PRU15. SPR juga sepatutnya sudah belajar, faham dengan kekangan sedia ada.
“Dengan prosedur operasi standard (SOP) yang mantap, PRU15 adalah sinar di hujung terowong kerana ia akan memastikan kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata, selagi krisis politik tidak ditangani segera melalui PRU15, selagi itulah pertumbuhan ekonomi pulih dengan perlahan.
“Jika krisis ini berlarutan, bajet akan turut terjejas. Walaupun dasar sedia ada akan diteruskan oleh kementerian serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas dasar tersebut, dasar-dasar baharu yang hendak dilaksanakan mungkin akan tertangguh jika kerajaan semasa tumbang.
“Jika dasar-dasar baharu ini tertangguh, maka ia juga akan merencatkan usaha pemulihan ekonomi tahun ini dan tahun hadapan. Ini sekali gus menyebabkan pelabur dan pemain industri mengambil pendekatan lebih berhati-hati,” katanya.
PRU15 dijangka menyaksikan pertembungan banyak penjuru terutama saingan sengit antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Dengan Undi18 berkuat kuasa 15 Disember tahun lalu, kira-kira 5.8 juta pengundi berusia 18 tahun layak menunaikan tangggungjawab mereka dalam PRU-15. – UTUSAN ONLINE










