PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibebaskan daripada campur tangan dan menjadi senjata politik bagi memulihkan integriti suruhanjaya tersebut dan kembali meraih kepercayaan masyarakat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis Dr. Azmi Hassan berkata, kes-kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin politik sukar dilaksanakan siasatan hingga menyebabkan kelewatan keputusan hukuman kerana terdapat campur tangan politik.
Menurut beliau, pelaksanaan undang-undang terkekang kerana SPRM terikat di bawah Kerajaan Pusat dan bukan di bawah Parlimen, jadi suruhanjaya tersebut perlu dibebaskan supaya siasatan boleh dilakukan secara adil serta telus.
“SPRM perlu ada keberanian dan integriti, mereka perlu bebas supaya suruhanjaya itu boleh buat keputusan tanpa sebarang tekanan dan campur tangan asing hingga menyebabkan kekuasaan mereka agak terhad.
“Kita nak mengelakkan SPRM diguna pakai sebagai senjata politik, jadikan mereka sebebas mungkin dan kemudian lengkapkan setiap penguat kuasa dengan kamera badan supaya tiada tuduhan dan tohmahan dilontarkan kepada mereka, rakaman itu juga boleh dijadikan bukti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Terdahulu, akhbar melaporkan, pegawai kanan SPRM gered 44 dan dua lagi kakitangan lain ditahan berhubung kehilangan duit barang kes bernilai RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.
Mengulas mengenai isu itu, Azmi berpendapat, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki perlu tampil memperjelaskan isu tersebut kerana berita berkenaan integriti suruhanjaya itu sudah tersebar luas.
“Kita tak mahu tuduhan yang tersebar luas itu berat sebelah, beliau perlu tampil ke hadapan dan memperjelaskan isu berkaitan supaya masyarakat tidak hilang kepercayaan kepada suruhanjayanya,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berbeza pendapat dengan Azmi mengenai desakan supaya Azam tampil memberi penjelasan mengenai isu rasuah.

“Adakalanya kontroversi timbul, yang tertuduh boleh memberikan reaksi atau mendiamkan diri dan secara faktanya mendiamkan diri juga adalah reaksi. Sebaiknya Azam Baki mendiamkan diri dahulu sehingga siasatan tamat dilakukan dan kemudiannya baharulah tampil memperjelaskan,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Kartini Aboo tidak menyangkal bahawa jika SPRM dibebaskan daripada pengaruh politik, pelbagai kebaikan boleh dilakukan kepada rakyat dan boleh juga memperbaiki integriti agensi tersebut.
“Berbalik kepada integriti, mereka tak boleh duduk di bawah politik seelok-eloknya hanya berada di bawah Parlimen atau bebas terus supaya tiada tangan halimunan cuba mengawal suruhanjaya itu.
“Apabila tiada campur tangan, mereka yang tertuduh boleh diadili mengikut undang-undang secara adil. Rakyat juga boleh tahu, mereka berhak tahu kerana rakyat membayar cukai dengan hasil titik peluh untuk pembangunan negara bukan untuk kegunaan peribadi segelintir pihak,” tambahnya. -UTUSAN









