PUTRAJAYA: Isu kepadatan pelajar dalam setiap kelas diakui wujud sekian lama, namun situasi itu hanya kritikal berlaku di bandar-bandar besar berdasarkan lokaliti tertentu.
Mengesahkan keadaan itu kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, bagaimanapun masalah berkenaan tidak boleh diselesaikan dalam jangka pendek kerana ia melibatkan pembangunan fizikal melalui pembinaan sekolah atau penambahan bangunan baharu.
Katanya, pembangunan fizikal juga melibatkan peruntukan kewangan yang tinggi selain isu ketiadaan tempat untuk membina sekolah baharu terutama di kawasan berkepadatan penduduk tinggi dengan sekolah sedia ada tidak boleh dikembangkan lagi.
“Situasi kepadatan murid ini bukan berlaku di seluruh negara. Hanya di bandar-bandar besar sahaja yang kritikal. Isu ini pernah dibincangkan, namun ia memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh diselesaikan secara segera.
“Contohnya, antara cadangan ialah membuat pemindahan murid ke sekolah lain yang tidak ramai. Itu juga cabaran besar tidak mudah untuk dilaksanakan kerana ibu bapa sukar berbuat demikian kerana sekolah jauh pula,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun Amin berkata, perbincangan untuk menyelesaikan isu tersebut ada dibangkitkan apabila ia dikaitkan dengan masalah bebanan guru untuk menguasai pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas ramai murid.
Beliau berkata, perkara tersebut pernah dicadangkan untuk mewujudkan dua guru untuk satu subjek iaitu berkonsepkan pembantu guru bagi guru utama yang mengajar subjek kritikal.
Katanya, cadangan itu boleh dilaksanakan terutama bagi kelas-kelas yang melebihi 40 orang murid.
“Dalam isu ini, kita prihatin dengan masalah bebanan guru, bukannya menyelesaikan masalah mencari kawasan untuk membina sekolah baharu yang mengambil tempoh panjang.
“Bagaimanapun, perkara ini juga memerlukan perbincangan lanjut seperti permasalahan perjawatan dan sebagainya. Namun, ini antara cara yang boleh nampak untuk diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, usaha mengatasi isu kepadatan murid di sekolah-sekolah tertentu sudah dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, cuma perancangan penyelesaian itu sama ada boleh dilaksanakan atau sebaliknya.
Lebih-lebih lagi kata beliau, ia melibatkan kelulusan peruntukan kewangan daripada agensi pusat kerana bajet untuk perbelanjaan pembangunan tidak banyak untuk menyelesaikan semua isu melibatkan fasiliti sekolah.
Bagaimanapun katanya, isu berkenaan memerlukan kajian menyeluruh kerana melibatkan pelbagai aspek seperti berlaku pertambahan penduduk secara drastik dan di luar jangka.
“Sesetengah sekolah yang padat itu ada juga antara sebab seperti sekolah itu popular, jadi ramai nak masuk ke situ. Ada antara sekolah pula boleh selesai melalui usaha mereka sendiri.
“Perubahan demografi juga berlaku, kalau dahulu sekolah di luar bandar penuh, tetapi apabila berlaku perpindahan murid ke sekolah bandar jadi berlaku kekosongan di luar bandar pula. Sebab itu ini memerlukan kajian menyeluruh. Yang penting perhatian sudah diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan,” katanya. -UTUSAN










