PETALING JAYA: Sikap ibu bapa yang berkeras menghantar anak mereka ke sekolah ‘yang diminati’ atau laluan sama dengan laluan mereka ke tempat kerja adalah antara punca berlaku kesesakan pelajar di sesebuah sekolah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Wang Heng Suan berkata, ada ibu bapa yang menggunakan pengaruh politik untuk menempatkan anak mereka di sekolah tertentu.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memahami kepadatan murid dalam sesebuah kelas akan menjejaskan pembelajaran anak mereka apabila guru tidak dapat memberi tumpuan menyeluruh ketika pembelajaran dan pengajaran (PdP) dalam kelas.
“Bila berlaku kepadatan murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memindahkan ke sekolah yang kurang murid dan pelajar, maka ada ibu bapa kemudian menggunakan kabel tertentu agar anak mereka tetap kekal di sekolah yang dikehendakinya.
“Dalam soal ini, mereka kena bijak kerana apabila kurang murid, aspek pengajaran lebih berkesan apabila guru dapat menumpukan PdP anak-anak mereka,” katanya.
Jurucakap Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Chonnel George berkata, masalah kekurangan guru bukan alasan berlakunya kepadatan murid dan pelajar dalam sesebuah kelas dan sekolah sedangkan saban tahun negara berhadapan lambakan graduan ijazah sarjana muda pendidikan (ISMP).
Katanya kini terdapat 4,390 lepasan ISMP yang kini masih menanti penempatan dan mereka wajar diberi ruang untuk mengisi kekurangan guru di sekolah berhadapan kepadatan murid.
Katanya, masalah kekurangan guru merupakan isu besar yang perlu ditangani Kementerian Pendidikan dengan segera memandangkan merupakan merupakan tenaga penting untuk menentukan hala tuju generasi muda masa kini.
“Ya, kita tahu kerajaan berhadapan kurang tenaga pengajar untuk menampung proses pembelajaran dan pendidikan dalam kelas yang memiliki murid dan pelajar terama dan membebankan guru, tetapi perkara ini boleh diatasi jika ambil graduan ISMP setiap tahun,’’ katanya. -UTUSAN










