KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sukar mengagak masa tepat malam ini untuk mengisytihar pemenang yang melepasi majoriti mudah 42 kerusi pilihan raya negeri Sarawak .
Bagaimanapun, kata Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, di Melaka majoriti mudah diketahui seawal 8.30 malam tetapi Sarawak keadaan berbeza kerana saiz negeri besar selain jumlah kerusi sebanyak 82.
Begitupun, kata beliau, pengundian di pusat-pusat yang ditutup awal di Sarawak akan diketahui seawal pukul 7 petang.
“Ia setelah mempertimbang faktor geografi dan bilangan pemilih yang rendah.
“Akan ada pusat mengundi ditutup lebih awal kerana mempunyai bilangan pemilihan rendah dan lokasinya jauh dari pusat penjumlahan rasmi undi berbanding kebanyakan pusat mengundi yang ditutup pukul 5 petang.
“Kami menjangkakan keputusan dari pusat mengundi yang ditutup awal ini boleh diketahui seawal pukul 7 petang esok,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika di sini semalam.
Mengikut senarai pusat mengundi dikeluarkan SPR, antara pusat mengundi yang ditutup awal ialah Dewan Mahligai Gading Lundu (DUN Opar) dengan bilangan pemilih seorang; Dewan ULS Sampadi di DUN Tanjong Datu (17 pemilih) dan Ruang D, Dewan Badminton, Kompleks Tabuan Jaya di DUN Pantai Damai (31 pemilih).
Sebanyak 3,666 saluran mengundi dibuka untuk proses pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dan 1,951 bilangan pusat undi di seluruh Sarawak.
Seramai 349 calon dari 10 parti politik termasuk 30 calon bebas bersaing merebut 82 kerusi dalam menentukan kerajaan negeri yang baharu. – UTUSAN ONLINE










