KUCHING: Sejarah kekalahan teruk PKR di kesemua 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu diyakini tidak akan berulang di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, partinya menyasarkan lebih tiga kerusi dalam PRN12 berbanding 47 yang ditandingi 2016.
“Isu di Melaka ketika itu kerana berdepan masalah penggunaan logo parti sama ada logo Pakatan Harapan (PH) atau PKR, malah isu perkauman mempengaruhi kemenangan.
“Sedangkan di Sarawak, perkara seperti itu tidak berlaku dan saya optimis kemenangan akan memihak kepada kami kali ini.
“PKR berpegang kepada kekuatan yang parti ini sudah bertapak di bumi Sarawak sejak berpuluh tahun, logo PKR juga popular di sini malah gerak kerja kami sudah bermula lebih awal,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pilihan raya negeri lalu menyaksikan PKR hanya menang tiga kerusi Datuk Ali Biju, Baru Bian dan See Chee How yang bagaimanapun semuanya meninggalkan parti selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.
PKR meletakkan 28 calon pada PRN Sarawak kali ini selepas pada awalnya mengumumkan bertanding di 49 kerusi DUN.
Abang Zulkifli bertanding di DUN Beting Maro dan bakal berdepan saingan empat penjuru dengan Razaili Gapor (GPS-PBB), Mohamad Arifriazul Paijo (PN-Pas) dan Jackie Chiew (PBK). – UTUSAN ONLINE









