PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan tidak pernah meminggirkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebaliknya golongan itu sentiasa menjadi keutamaan walaupun tidak lagi berada dalam perkhidmatan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kementeriannya sentiasa mengambil peduli serta memahami terhadap segala isu membabitkan golongan berkenaan termasuk isu 100,000 veteran ATM yang didakwa hidup miskin.
“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah pun menjelaskan dalam sidang Dewan Rakyat tentang isu ini iaitu dua hari lepas. Isu ini juga banyak kali dibangkitkan oleh sahabat saya, Ahli Parlimen Padang Serai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kotak Makanan Program Bantuan Malaysia kepada Mindef sempena inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada Rabu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd. Aziz.
Jabatan Hal Ehwan Veteran ATM (JHEV ATM) dan Kementerian Pertahanan menerima sumbangan 15,000 kotak bekalan makanan daripada pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Seri Lee Kim Yew menerusi pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.
Sebanyak 5,000 kotak akan diagihkan ke JHEV ATM Cawangan Sabah dan Sarawak sementara yang selebihnya diterima JHEV Cawangan negeri-negeri di Semenanjung.
Majlis tersebut merupakan sumbangan fasa kedua setelah fasa pertama serahan berjumlah 10,000 kotak telah disempurnakan pada 27 Ogos 2021 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan kira-kira 100,000 veteran tentera sebelum dan pasca merdeka sehingga 2004 berada dalam kategori miskin kerana hanya memperoleh kadar pencen berdasarkan gaji lama mereka.
Menyentuh isu jurang pencen tersebut, Ikmal Hisham menambah, kementeriannya sedang membuat kajian dengan terperinci.
Beliau memberitahu, menteri juga akan membawa isu jurang pencen ke Majlis ATM dan akan membuat mesyuarat serta memperoleh keputusan bagi menentukan kaedah mengatasi isu tersebut. -UTUSAN ONLINE










