Salahkah peneroka dapat pendapatan 'luar biasa'? - Utusan Malaysia

Salahkah peneroka dapat pendapatan ‘luar biasa’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penghasilan buah tandan sawit bersih (BTB) melebihi 15 tan metrik sebulan membabitkan empat hektar keluasan ladang milik peneroka Felda bukan suatu perkara luar biasa.

Ia mampu dicapai dan diperoleh di 317 tanah rancangan itu di seluruh negara, bergantung kepada beberapa faktor antaranya usia pokok, cuaca, penjagaan ladang dan aspek pembajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, bukan satu masalah jika pendapatan peneroka ‘luar biasa’ dan sepatutnya ia harus dipuji.

Beliau berkata, pendapatan sebegitu tidak wajar dianggap peneroka memperoleh hasil yang meragukan.

“Pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sepatutnya turun padang dan siasat kenapa peneroka boleh mencapai pendapatan luar daripada kebiasaan, bukan sekat hasil mereka.

“Jika pendapatan peneroka tersebut memang tulen, jadikan ia sebagai contoh kepada peneroka lain. Dasar-dasar yang tidak menggalakkan peneroka memperoleh pendapatan lebih baik di musim harga tinggi sekarang patut dibatalkan,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, seorang peneroka lazimnya memiliki keluasan tanah sebanyak empat hektar dan mampu menghasilkan buah sawit sebanyak satu tan metrik untuk 0.4 hektar tanah bagi tempoh satu bulan.

Beliau berkata, mana-mana peneroka yang mahu menghantar melebihi had jumlah itu tetap diterima jika mereka boleh membuktikan ia adalah hasil sebenar daripada tanah mereka sendiri.

Bagaimanapun katanya, ia sesuatu yang mencurigakan jika ada peneroka mampu mendapat hasil tinggi dalam keadaaan pengeluaran hasil sawit mengalami pengurangan 10 peratus.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Lepar Hilir 3, Rosli Samad, 58, berkata, bulan lalu dan bulan ini, hasil peneroka di tanah rancangan itu meningkat dengan kira-kira 110 daripada 336 peneroka memperoleh hasil sawit melebihi 15 tan metrik.

“Jika musim buah banyak, peneroka boleh mohon daripada pengurus Felda untuk tambah jumlah tan selepas dihadkan 15 tan seorang peneroka. Tujuannya untuk bendung ahli menonjol buah sesama sendiri kerana ramai ahli yang gagal membayar hutang kepada Felda.

“Cuma, untuk isu ini, saya mencadangkan supaya had tersebut dinaikkan kepada 20 tan metrik setiap peneroka,” katanya.

Peneroka Felda Chini 1, Abdul Ghafar Abdul Hamid, 68, pula berkata, sejak menjadi peneroka bermula 1980, setiap tahun, dia memperoleh dua hingga tiga kali hasil melebihi 15 tan metrik.

“Pernah suatu ketika dahulu, saya memperoleh 23 tan sebulan. Ia tidak mustahil diperoleh di kawasan ladang sawit seluas empat hektar,” katanya.

Jelasnya, memang ada rungutan dalam kalangan peneroka tentang arahan MPOB mengehadkan 15 tan sawit tersebut.

“Kenapa 15 tan? Jika hendak dihadkan sekali pun, ia boleh melebihi 20 tan bagi memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Ia tidak adil kepada peneroka yang konsisten setiap bulan, bagi yang culas, Felda seharusnya cari penyelesaian terbaik mengatasi masalah itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN