PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil kepada Kerajaan Malaysia kelmarin.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pemulangan itu dilakukan menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset atau Assets Recovery Trust Account milik Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah AS$864,813.27 (RM3.6 juta).
Kata kenyataan itu lagi, Kerajaan Singapura sebelum ini juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 (RM64 juta) kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman dan Bekas pegawai kanan firma NTUC, Samuel Goh Sze-W.
“SPRM kini sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura.
“Sehingga kini, SPRM dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa telah berjaya memulangkan sejumlah RM20.5 bilion aset dana 1MDB telah dipulangkan kepada kerajaan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, SPRM juga sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB. -UTUSAN ONLINE