Lima tahun sia-sia - Utusan Malaysia

Lima tahun sia-sia

Hartal Doktor Kontrak yang diadakan di seluruh negara pada 26 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak mempersoalkan langkah kerajaan yang baru mahu membuat unjuran jumlah doktor kontrak yang perlu diserap ke perkhidmatan tetap sedangkan isu berkenaan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Jurucakap gerakan itu, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, ketiadaan un­juran dalam tempoh lima tahun sebelum ini mencetuskan persoalan sama ada kerajaan be­nar-benar serius dalam mena­ngani masalah itu atau sebaliknya.

“Takkan lima tahun tiada unjuran? Baru mahu buat (unjuran keperluan itu),” katanya kepada Utusan Malaysia, se­ma­lam.

Beliau mengulas kenyataan Men­teri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam bahawa tia­da jaminan untuk menyerap ke­semua doktor kontrak ke per­khidmatan te­tap, namun kerajaan akan meletakkan unjuran jumlah yang diperlukan.

Khairy berkata, unjuran ter­se­but sedang disediakan oleh Ke­menterian Kesihatan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

“Sejak akhir 2016, setiap pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak. 24,000 lebih dilantik secara kontrak tetapi yang ditawarkan jawatan tetap hanyalah lebih 1,000. Ini adalah masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera dan saya tidak pasti dapat serap semua di bawah kontrak.

“Kita akan usahakan supaya jumlah (unjuran) itu dapat kita serapkan dalam perkhidmatan tetap,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Dun (GPS-Beaufort) di Dewan Rakyat, semalam.

Dr. Mustapha yang berang dengan jawapan kerajaan itu menyamakan kerjaya doktor kontrak seperti pelacur.

“Orang (Doktor kontrak) yang bekerja di hospital ini bagai pelacur. Dilacurkan waktu Covid-19, sudah habis dibuang, begitulah ibarat kami yang kerja kontrak,’’ katanya.

Senada dengan beliau, Dr. Muhammad Yassin yang juga jurucakap gerakan itu berkata, isu doktor kontrak yang sudah hampir lima tahun tidak selesai dan belum ada unjuran keperluan dibuat sehingga kini memang amat mengecewakan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan Khairy baru mengambil alih Kementerian Kesihatan, namun pembuat polisi seperti Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Kementerian dan pegawai kanan dalam kementerian itu masih orang sama.

“Dua tahun kami bertungkus-lumus bersabung nyawa melawan Covid-19 dan kami berharap adanya sinar harapan kami diserap menjadi tetap tetapi hanya diberi sambungan kontrak.

“Persoalannya kenapa tiada unjuran dilakukan sebelum ini dan hanya sekarang baru hendak membuat unjuran tersebut? Apakah unjuran akan siap lagi lima tahun?,” soalnya.

Namun, beliau berharap pihak pelaksana polisi mengambil serius isu itu dan dapat menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Ini kerana ramai doktor muda sudah kecewa dan merasakan tiada masa depan yang cerah sekiranya terus kekal dalam keadaan sekarang.

“Apapun, doktor kontrak masih ada keyakinan dengan Khairy dan semoga beliau mampu menyelesaikan masalah ini dengan segera,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN