Tunggang motosikal dua jam pulang ke UTM - Utusan Malaysia

Tunggang motosikal dua jam pulang ke UTM

NUR Fathen Amirah Kosmani yang menunggang motosikal dari Batu Pahat gembira menunjukkan keputusan ujian RTK negatif sebelum dia dibenarkan memasuki kampus di UTM, Skudai di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tabah mengharungi perjalanan dengan menunggang motosikal selama kira-kira dua jam dari Batu Pahat untuk kembali menyambung pengajiannya di kampus universiti berkenaan, di sini.

Nur Fathen Amira Kosmani, 23, memberitahu, dia bertolak dari kediaman keluarganya di Parit Raja, Batu Pahat pada pukul 8 pagi sebelum tiba ke Skudai dua jam kemudian.

“Saya hanya tinggal satu semester untuk menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan kebenaran memasuki kampus ini akan membantu saya untuk melaksanakan projek tahun akhir.

“Ini kerana projek berkenaan memerlukan saya untuk menggunakan makmal bagi menyiapkan tugasan yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di universiti berkenaan, di sini hari ini.

Tambah Nur Fathen Amira, mereka akan menggunakan peluang kembali ke kampus bagi semester baharu kali ini untuk menamatkan pengajiannya sekaligus mencapai cita-cita bergelar pemegang ijazah.

Seorang lagi penuntut dari Klang, Selangor, Iman Aidi Elham Hairul Nizam, 22, pula memberitahu, dia berasa teruja kerana dapat kembali menyambung pengajian secara fizikal berbanding hanya secara dalam talian.

“Rasa seronok dapat kembali ke kampus dan bertemu dengan rakan-rakan. Saya juga yakin pihak universiti telah mengambil inisiatif terbaik untuk memastikan keselamatan dan kesihatan warga kampus,” katanya yang merupakan penuntut semester tiga Fakulti Kejuruteraan Perisian.

Sementara itu, UTM menjangkakan seramai 856 penuntut di Kampus Johor Bahru dan 92 penuntut di kampus Kuala Lumpur akan mendaftar masuk secara fizikal dan mendiami kolej kediaman masing-masing bagi kemasukan fasa pertama yang bermula hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan universiti itu, seramai 6,000 penuntut akan memasuki kampus universiti awam berkenaan secara berperingkat dalam tiga fasa yang ditetapkan.

“Proses kemasukan penuntut dilakukan dalam beberapa fasa dengan syarat mereka telah lengkap vaksinasi, mendapat kelulusan universiti dan daripada kumpulan pelajar yang berkeperluan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Tun Fatimah UTM, Noor Mala Ibrahim pula memberitahu, penuntut yang dibenarkan memasuki kampus adalah yang telah membuat permohonan dan menepati kriteria ditetapkan pihak universiti.

“Bagi kemasukan fasa pertama ini, setiap penuntut akan ditempatkan dalam bilik secara berseorangan selepas ujian saringan Covid-19 yang dilakukan mereka mendapat keputusan negatif.

“Sekiranya ujian dibuat mendapati mereka positif, mereka akan ditempatkan di Pusat Isolasi dan Kuarantin terlebih dahulu sehingga tempoh yang ditetapkan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya