PETALING JAYA : Ujian makmal dan klinikal terhadap ketum perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya mahu menjadikan tumbuhan itu sebagai bahan perubatan demi memastikan bahan itu tidak disalahguna masyarakat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, sehingga kini, masih belum ada kajian menyeluruh terhadap ketum memandangkannya memerlukan kos tinggi dan masa yang panjang.
Katanya, kajian amat penting sebelum membuat sebarang akta untuk membenar atau mengharam ketum bagi mengelakkan tumbuhan itu dieksploitasi tanpa kawalan.
“Sebelum kita pergi lebih jauh untuk sama ada untuk menghalalkan atau mengharamkan ketum, semua pihak perlu mengkaji potensi tumbuhan ini. Memang ada pihak mendakwa bagus kepada kesihatan, tetapi sejauh mana kebenaran belum dipastikan, cuma ada pengalaman peribadi.
“Hal ini kerana negara kita tidak pernah melakukan kajian menyeluruh daripada segi klinikal dan makmal sebab ianya memerlukan kos dan masa. Selepas kita tahu potensi ketum, barulah kita tengok kewajaran penggunaan tumbuhan untuk tujuan kesihatan,” katanya.
Kelmarin sembilan Ahli Parlimen yang diwakili pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang bersetuju untuk menubuhkan satu kaukus untuk mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan kanabis untuk perubatan.
Menurut satu kenyataan media, objektif kajian pengawalseliaan bahan itu, adalah demi mengurangkan kemudaratan dan menjadikan ia sebagai salah satu bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.
Sebagai sebahagian rangka kerja awal, kaukus itu akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dan kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.
Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat menambah meskipun terdapat pihak mendakwa ketum memberi manfaat kepada kesihatan, namun, ia berasaskan pengalaman tanpa melalui proses makmal sekali gus dibimbangi dicampur dengan bahan tertentu.
“Macam ubatan lain yang berasas tumbuhan, ia wujud setelah melalui ujian makmal dan kemudian ditetapkan pengambilan berdasarkan dos-dos tertentu. Jadi perkara sama berlaku kepada ketum, ia wajar ditetapkan dos agar tidak memudaratkan kesihatan orang ramai,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Pembiakan Tumbuhan Herba dan Pokok Herba Negeri Kedah, Husaini Mat Rejab berkata pihaknya berharap kaukus itu dapat merungkai kejayaan saintis-saintis serta pakar-pakar dari universiti tempatan berkaitan ketum yang selama ini telah dipinggirkan.
Beliau juga berharap kaukus itu dapat menyemak kembali kejayaan yang dilakukan oleh sebuah sekolah menengah di utara tanah air dengan memenangi 7 pingat emas berkaitan ketum di luar negara serta kejayaan pakar Universiti Sains Malaysia di Jerman.
“Kami di persatuan bersedia menyalurkan maklumat berkaitan ketum kepada kaukus jika diperlukan.
“Pada pandangan kami ketum sudah ratusan tahun di bumi Malaysia dan akan kekal terus kekal lagi ratusan tahun, ini disebabkan tabiat tumbuhan ini yang senang membiak ditanah-tanah lapang atau di hutan liar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










