Pengeluar i-Lestari, i-Sinar, i-Citra perlu 4-6 tahun untuk bina semula simpanan - Utusan Malaysia

Pengeluar i-Lestari, i-Sinar, i-Citra perlu 4-6 tahun untuk bina semula simpanan

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menganggarkan bahawa ahli-ahli yang terkesan perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik Covid-19.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, kemudahan pengeluaran seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada 55 tahun, iaitu daripada 36 peratus pada tahun 2020 kepada anggaran 27 peratus pada hujung tahun ini.

“Berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa hadapan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

“KWSP berharap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu ke arah memenuhi keperluan rakyat,” menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.

Disebabkan itu, KWSP kini fokus dalam membantu ahlinya membina semula simpanan demi masa depan semasa persaraan.

KWSP memberikan jaminan tersebut setelah kemudahan pengeluaran seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra yang diperkenalkan berikutan pandemik Covid-19 mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli, atau lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP.

Katanya, walaupun pengeluaran tersebut telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.

“Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan untuk ahli Bumiputera, memandangkan seramai 78 peratus, atau lebih tiga perempat telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.

“Akibatnya, seramai 4.4 juta, atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2 juta, atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000, ” menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.

Tambahan lagi, KWSP menyifatkan bahawa pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama.

“Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP yang lebih kurang 5 juta ahli menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.

“Kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18% kepada RM155 bilion, atau baki median sebanyak RM24,995,” katanya.

Kata KWSP, hanya kumpulan 20 peratus teratas yang berumur di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043, atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun.

“Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 73 peratus, atau hampir tiga perempat, ahli berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya.

Bagaimanapun, KWSP yakin Pelan Pemulihan Negara, program vaksin, kes harian Covid-19 dan kemasukan ke hospital yang telah menurun secara konsisten, membolehkan sektor ekonomi dapat dipulihkan semula sementara rakyat Malaysia keluar semula bekerja dan sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

Selain itu, katanya, Bajet 2022 menyaksikan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), serta pelbagai langkah mencerminkan pendirian kerajaan dalam memperkukuhkan agenda perlindungan sosial untuk rakyat Malaysia.

“Usaha ini juga dapat dilihat melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia. Usaha-usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu ke arah menangani sebarang kepincangan sistem perlindungan sosial negara untuk masyarakat rentan, bagi memastikan mereka diberi akses kepada mencapai taraf hidup minimum biarpun dalam persekitaran yang tidak dijangka.

“Agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara.

“KWSP menyokong penuh langkah-langkah ini dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya