[PARLIMEN] Kompaun bawah darurat selepas 21 Julai perlu dibatal - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kompaun bawah darurat selepas 21 Julai perlu dibatal

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kompaun yang dikeluarkan di bawah Ordinan Darurat selepas 21 Julai lalu perlu dibatalkan kerajaan.

Ini kerana menurut Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur), perkara itu menimbulkan kekeliruan selepas kenyataan pada 26 Julai lalu di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dimana pada waktu itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua Ordinan Darurat sudah ditarik balik pada 21 Julai lalu.

“Rakyat tidak seharusnya dihukum apabila undang-undang Ordinan Darurat pada ketika itu mengelirukan dan dianggap oleh kerajaan sendiri sebagai sudah tidak berkuat kuasa. Penalti tidak boleh dikeluarkan tanpa undang-undang.

“Kerajaan ketika itu mengambil pendirian Ordinan Darurat sudah diungkai dan tidak lagi berkuat kuasa sejak 21 Julai lalu, walaupun daripada segi undang-undang, kita semua tahu ia adalah satu kesilapan besar dan pelanggaran undang-undang yang serius oleh kerajaan ketika itu.Walaupun pengumuman dibuat Ordinan Darurat sudah diungkaikan, namun kita mendapati pasukan penguatkuasa masih mengeluarkan kompaun ketidakpatuhan SOP kesihatan, dengan mengguna pakai Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul bagi merungkai tujuh Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima pihaknya selepas 21 Julai hingga 27 Ogos lalu sebanyak 10,419 kompaun dikeluarkan.

Kah Woh turut meminta segala pindaan yang dibuat kerajaan ke atas Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas Ordinan Darurat diungkai, perlu lebih jelas dalam mengasingkan keseriusan kesalahan, selain jumlah kompaun pelanggaran SOP yang lebih adil dan munasabah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN