Mengundi lebih satu hari - Utusan Malaysia

Mengundi lebih satu hari

slim
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan proses membuang undi lebih sehari supaya Pilihan Raya Negeri Melaka berlangsung dalam suasana selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pro­ses pengundian lebih daripada sehari adalah antara langkah yang boleh diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam keadaan negara masih berdepan ancaman Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia sebagai langkah pengawalan bagi menyusun perge­rakan pengundi agar tidak keluar mengundi dalam jumlah ramai secara serentak.

“PRN ini perlu dilihat sebagai kejayaan kerajaan menguruskan isu Covid-19 setelah pelbagai inisiatif dilaksanakan, tetapi bukan bermaksud nak menjadikan rakyat sebagai bahan ujikaji kesihatan,’’ katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan tiada pilihan kedua melainkan bersiap sedia mengadakan PRN Melaka dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Oktober lalu.

Katanya, keperluan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRN itu perlu bersandarkan undang-undang, iaitu wujud keadaan darurat besar berlaku di negara ini atau kea­daan yang menghampiri darurat besar.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan dilihat tidak lagi menangani isu penularan Covid-19 sebagai satu krisis kesihatan memandangkan negara telah pun mencapai imuniti kelompok selepas kadar vaksinasi menghampiri 90 peratus populasi dewasa.

Jelasnya, kerajaan mula menguruskan Covid19 sebagai endemik yang jelas diterjemahkan melalui polisi terkini dengan kebenaran rentas ne­geri, pelepasan ke luar negara dan kehidupan norma baharu.

Wan Ahmad Fauzi berkata, dalam tempoh 60 hari ini, kerajaan perlu memberi fokus kepada 100 peratus vaksinasi bagi mengukuhkan lagi imuniti kelompok.

“Jika benar kajian menunjukkan vaksinasi mengurangkan tahap keterukan jangkitan, maka agak sukar untuk menjustifikasi potensi darurat besar pada masa sekarang, atau dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Katanya, gerak kerja ke arah menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pilihan raya seperti kaedah berkempen dan pergerakan keluar masuk penduduk luar selain menggerakkan pendidikan kepada rakyat perlu dilakukan pada bulan pertama ini.

Pada masa sama, Wan Ahmad Fauzi berkata, penguatkuasaan Akta 342 boleh diguna pakai sepenuhnya dalam usaha pengawalan, pematuhan dan pencegahan sepanjang pelaksanaan PRN ini nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN