Tidak perlu tergesa-gesa beri dos ketiga - Utusan Malaysia

Tidak perlu tergesa-gesa beri dos ketiga

DR. ZAINAL ARIFFIN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa dalam pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Co­vid-19 kepada golongan berisiko di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berpandangan, pemberian dos ketiga itu merupakan langkah yang baik tetapi keperluan ketika ini adalah untuk memastikan isu penerimaan vaksin yang masih rendah di beberapa buah negeri perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor masih bawah 70 peratus lengkap vaksin, kita jangan cakap banyak, kita kena cari kenapa masih rendah, kita tidak tahu apa punca masalah tersebut, jadi perlu tumpu kepada golongan itu dahulu.

“Sepatutnya memasuki bulan Oktober, kita kena habiskan negeri-negeri seperti di Kelantan, Pahang dan Terengganu, mesti mencapai 80 peratus kerana nanti akan berhadapan dengan faktor cuaca dan banjir pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Dr. Zainal Ariffin menambah, kerajaan juga perlu berhati-hati dalam aspek pemberian dos penggalak tersebut ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak mencadangkannya buat masa ini selagi sesebuah negara tidak tidak lengkapkan penduduk dengan dua dos vaksin Covid-19.

“Memang ada keperluan untuk memberi dos ketiga dan dos penggalak kepada orang yang telah diberikan vaksin tetapi kebanyakan negara masih mengambil langkah berhati-hati atas beberapa sebab seperti keberkesanan dan keselamatannya.

“Masih belum banyak kajian yang lengkap, walaupun disyor­kan tetapi bagi keseluruhan penduduk ia masih perlu kajian lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan mengeluarkan data lengkap jumlah golongan rentan seperti warga emas yang mempunyai komorbiditi dan petugas barisan hadapan yang lengkap mempunyai vaksin namun masih lagi dijangkiti Co­vid-19 setakat ini.

“Tunjukkan data tersebut, itu penting, jadi barulah kita tahu bahawa pemberian vaksin ketiga ini sesuatu yang dalam kecemasan itu dilaksanakan,” katanya lagi. v

Menurut Dr. Zainal Ariffin lagi, kajian terperinci juga perlu dilakukan ketika negara baru sahaja memasuki fasa pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan pelajar.

“Kita kena kaji stok sama ada mencukupi ataupun tidak isu logistik dan sebagainya kena ada perancangan yang betul kerana ia akan bercampur de­ngan golongan lain seperti pemberian vaksin kepada kanak-kanak. Kita tidak mahu apa kita kejar tertinggal yang dihadapi juga tertinggal, ia perlu perancangan yang betul,’’ katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×