Jangan abai kepentingan suntikan influenza

Jangan abai kepentingan suntikan influenza

VAKSINASI tahunan adalah langkah paling mudah dan ‘baik’ untuk mengekalkan kekuatan serta kualiti hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang sedar akan kepentingan menjaga kesihatan, namun malangnya tindakan yang diambil masih tidak seiring dengan kesedaran tersebut.

Walaupun suntikan influenza tahunan terbukti berkesan mencegah penyakit serius dan komplikasi berbahaya, kadar vaksinasi dalam kalangan golongan berisiko tinggi terutamanya warga emas dan penghidap penyakit kronik masih berada pada tahap yang amat rendah.

Menurut satu tinjauan kebangsaan pada 2025 melibatkan 672 warga emas (60 tahun ke atas), yang dijalankan secara kolaboratif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysian Influenza Working Group (MIWG) dan universiti terkemuka, 74 peratus responden sedar tentang bahayanya influenza dan 76 peratus mempunyai pandangan positif terhadap vaksinasi.

Namun realitinya, hanya 29 peratus sahaja yang pernah mengambil vaksin dan hanya separuh daripada jumlah kecil itu yang konsisten mendapatkannya setiap tahun.

Justeru, golongan dewasa diseru untuk tidak lagi bertangguh dan mula mengutamakan kesihatan diri melalui vaksinasi influenza. Orang ramai boleh mendapatkan suntikan ini di klinik-klinik swasta dan hospital swasta.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menawarkan vaksinasi influenza kepada golongan sasar yang layak di klinik dan hospital terpilih, iaitu individu berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, tanpa mengira status kesihatan.

Orang ramai boleh menyemak ketersediaan stok vaksin di fasiliti kerajaan atau membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Mengapa vaksinasi influenza penting?
Profesor Dr. Zamberi Sekawi, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) menjelaskan, influenza tidak mengikut musim tertentu seperti di negara beriklim sejuk; ia menular sepanjang tahun. Ini menjadikan vaksinasi tahunan jauh lebih kritikal untuk mengurangkan risiko jangkitan dan kemasukan ke hospital.

Ancaman Tersembunyi
Profesor Dr. Roslina Manap, Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia berkata, vaksinasi influenza amat penting memandangkan ramai dewasa di Malaysia kini hidup dengan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan 68 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas menghidap sekurang-kurangnya dua penyakit tidak berjangkit (NCD), manakala kira-kira 30 peratus menghidap ketiga-tiga penyakit utama: Kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Sebagai contoh, pesakit jantung menghadapi risiko kematian berkaitan influenza sehingga lima kali lebih tinggi, manakala penghidap diabetes tiga kali lebih berisiko maut. Sebab itu, ramai pakar menasihati supaya vaksinasi dianggap sebagai sebahagian daripada pengurusan rutin penyakit kronik, bukannya pilihan tambahan.

Melindungi Kualiti Hidup Warga Emas
Profesor Tan Maw Pin, bekas Presiden Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), menjelaskan bahawa faktor usia melemahkan sistem imun, menyebabkan warga emas lebih sukar untuk sembuh.

Data daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menunjukkan satu daripada tiga warga emas (65 tahun ke atas) yang dijangkiti influenza mengalami kesan buruk, sama ada dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau meninggal dunia dalam tempoh setahun akibat komplikasi.

Jangkitan serius bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah mengganggu emosi dan kewangan. Vaksinasi tahunan adalah langkah paling mudah dan ‘baik’ untuk mengekalkan kekuatan serta kualiti hidup mereka.

Akses kepada vaksinasi influenza perlu terus diperluaskan kepada semua warga emas di masa hadapan, ia satu pelaburan bermakna untuk kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang. – UTUSAN

PERSATUAN PENYAKIT BERJANGKIT DAN KEMOTERAPI MALAYSIA (MSIDC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN