PORT DICKSON: Tiada sebarang keperluan khusus untuk pembangunan atau pemberian vaksin baharu bagi membantu mengawal penyakit berjangkit di negara ini.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, malah vaksin sedia ada juga malah mencukupi untuk mengawal penyakit berjangkit dalam sistem imunisasi kebangsaan.
“Setakat ini kita tidak ada lagi keperluan vaksin khusus, namun vaksin sedia ada yang diberikan sudah mencukupi untuk mengawal serta memberi pertahanan kepada tubuh badan.
“Virus ini (Nipah) sentiasa berpotensi untuk bermutasi dan kita juga mendengar laporan penularan di luar negara, namun apa yang penting ialah sistem kawalan kesihatan negara kita sentiasa diperkukuhkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital UCSI, Port Dickson, hari ini.
Tambahnya, langkah saringan kesihatan di pintu masuk utama negara perlu terus dilaksanakan bagi mengesan sebarang risiko penularan penyakit berjangkit, bukan hanya terhad kepada virus berkenaan.
Noor Hisham turut menyarankan orang ramai mengamalkan langkah pencegahan kendiri termasuk mengelakkan kawasan berisiko, kekal di rumah sekiranya mengalami demam serta memakai pelitup muka jika perlu.
“Apa yang penting ialah gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan diri serta persekitaran. Ini merupakan langkah asas tetapi berkesan yang boleh diamalkan masyarakat,” katanya.
Semalam, media melaporkan saringan kesihatan termasuk imbasan suhu badan kini dilaksanakan terhadap semua individu yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sebagai langkah pencegahan penularan virus Nipah. – UTUSAN










